Thursday, September 27, 2012

Dua remaja tekad ceburi bidang kraf tangan

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20120927/wj_02/Dua-remaja-tekad-ceburi-bidang-kraf-tangan

Published: September 27, 2012

MOHD. Yunus Ismail menunjukkan kepakarannya kepada Ahmad Khairi
membentuk kepingan kayu untuk dijadikan plat nombor rumah.

LABIS 26 Sept. - Dua remaja di sini bertekad untuk menceburi bidang kraf tangan kerana dilihat berpotensi memberi pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan melupakan hasrat memegang jawatan lain walaupun memiliki ijazah dan diploma.

Muhammad Amzari Md. Husaini, 30, lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media dari Universiti Malaya pada 2006 lebih senang menceburi bidang kraf tangan sejak empat tahun lalu.

Perkenalannya dengan pengusaha kraf tunggul kayu, Mohd. Yunus Ismail semasa mengunjungi satu pameran kraf tangan di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu memberi peluang baginya menimba ilmu dan menceburi bidang kraf lebih serius.

"Saya tidak pernah kesal menceburi bidang ini walaupun terpaksa melupakan bidang komunikasi yang dipelajari semata-mata kerana minat yang mendalam dan kepuasan diri menghasilkan produk kraf tangan.

"Saya suka kerjaya ini yang mencabar diri untuk berfikir secara kreatif, selain mendidik menjadi seorang penyabar serta fokus dalam setiap tugasan dilakukan. Selain itu, saya juga perlu mendidik diri agar melihat sesuatu dari sudut berbeza bagi menghasilkan produk," katanya yang mahir dalam kerja-kerja melarik kayu.
Selepas empat tahun bersama Mohd. Yunus, dia tidak berhasrat untuk memilih kerjaya lain, sebaliknya akan berusaha mempertingkatkan kemahiran dalam bidang berkenaan sebagai kerjaya masa depan.

Sementara itu, Ahmad Khairi Abd. Sabeth, 25, lulusan Diploma Seni Kraf Kayu dari Institut Kraf Negara di Pahang pada 2007 bersyukur diberi ruang menimba ilmu di bengkel Mohd. Yunus sejak lima bulan lalu.
Dia berhasrat mempraktik segala ilmu yang dipelajari sebaik mungkin untuk menghasilkan produk bermutu.

Menurutnya, walaupun memiliki diploma dalam bidang berkaitan, ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bekerja di bengkel tersebut berbeza dengan suasana semasa belajar kerana dia terpaksa menggunakan daya imaginasi sendiri untuk menghasilkan produk.

"Dalam usaha menghasilkan sesuatu produk kraf tangan, diploma yang dimiliki tidak boleh dijadikan ukuran, sebaliknya bakat dan daya kreatif seseorang itu adalah penentu kepada nilai produk.

"Hasil kraf kayu merupakan seni yang dicetuskan dari naluri dan imaginasi penciptanya yang tiada sempadan sebagai penentu kepada nilai sesuatu ciptaan yang unggul," katanya yang mahir mengukir kayu dan sedang berusaha menguasai kemahiran lain seperti melarik, menggosok dan mengilat produk kayu.

No comments: