Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/asean-diminta-wujudkan-usaha-bersepadu-bangunkan-industri-halal-1.88363
Published: September 26, 2012
BANGKOK - Sebuah pusat sains halal di Thailand meminta negara-negara
Asean mewujudkan usaha bersepadu untuk membangunkan industri halal
serantau, menggunakan logo dan sijil yang sama dan diterima pakai di
peringkat global.
Pusat Sains Halal Universiti Chulalongkorn (HSC-CU) merasakan bahawa
logo dan sijil yang selaras akan diterima oleh semua organisasi dan
negara serta membolehkan Asean meneroka pasaran halal yang kini sedang
meningkat.
Pembantu pengarahnya Sulida Wangchi berkata setiap negara anggota Asean
kini mempunyai logo dan sijil masing-masing yang tidak diterima pakai
secara menyeluruh di seluruh dunia.
Beliau menjangkakan pertumbuhan besar dalam industri halal berikutan
peningkatan permintaan untuk makanan halal dan semua produk pengguna
yang lain, tetapi sedih berikutan pasaran kini dikuasai negara-negara
seperti Brazil, China dan Amerika Syarikat.
"Oleh itu, adalah lebih baik untuk negara anggota Asean bekerjasama
menggunakan satu logo dan sijil halal yang akan diterima oleh semua
organisasi supaya kita boleh bersaing dengan mereka dan meneroka pasaran
halal," katanya kepada kumpulan wartawan Malaysia yang melawat Pusat
Sains Halal universiti itu, di sini.
Lawatan itu adalah sebahagian daripada program untuk media mengenali Thailand anjuran Kementerian Luar Thailand.
Kini, terdapat kira-kira 1.8 bilion penduduk Islam di seluruh negara
dan permintaan global bagi produk halal untuk sektor makanan dan bukan
makanan dianggarkan AS$2.3 trilion (RM7.05 trilion).
Sulida berkata negara-negara Asean dengan penduduk Islam seperti
Indonesia, Malaysia dan Thailand, perlu ke hadapan dalam mengambil
kesempatan terhadap potensi untuk bekerjasama dan saling bantu membantu
bagi meneroka potensi besar
pasaran halal.
"Pasaran halal adalah masa depan untuk Asean, terutama selepas Komuniti
Ekonomi Asean berkuatkuasa pada 2015. Terdapat banyak bidang dalam
pasaran halal yang boleh diteroka oleh negara-negara Asean, terutama di
kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Asean (OIC).
"Oleh itu, Malaysia, Thailand dan Indonesia perlu menerajui Asean dalam
industri halal dan kita mesti memperkukuhkan kerjasama kita dan
menggunakan kepakaran kita bagi memastikan produk halal dari Asean
melepasi standard antarabangsa, bermula dari bahan mentah hingga ke rak
di kedai," katanya.
Sulida berkata negara-negara Asean mesti bekerjasama erat memandangkan
produk halal dari Asean mungkin menghadapi halangan perdagangan dan
cabaran dasar yang lain di luar rantau ini kerana negara-negara lain
melindungi produk tempatan mereka.
Beliau juga berkata Thailand berharap untuk bekerjasama erat dengan
Malaysia bagi membangunkan industri makanan halal di rantau ini.
The HSC-CU akan menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan
Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)
mengenai sains dan teknologi untuk menyokong industri halal, pada
Persidangan Antrabangsa Perniagaan dan Industri, Sains Halal (HASIB)
2012 di Hat Yai dari 13 hingga 15 Okt, katanya.
Persidangan itu diadakan sempena Ekspo Halal Pertumbuhan Segitiga
Indonesia-Malaysia-Thailand 2012, dan antara topik yang akan dibincang
ialah ICT Halal dan Inovasi, Potensi Industri Halal dan Perniagaan dalam
Ekonomi Halal.
Sulida mengalu-alukan pengusaha industri halal Malaysia untuk mengambil bahagian dalam HASIB 2012.- Bernama
No comments:
Post a Comment