Source from (Utusan Malaysia):
http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120926/ek_06/Halfest-beri-peluang-PKS-perluas-pasaran
Published: September 26, 2012
Dari kiri: Nadzim Johan, Shukri
Abdullah dan Hanafee Yusoff bergambar
pada sidang media Halfest di Pusat
Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 25 Sept. - Pameran produk halal tempatan, Halfest 2012
dijangka mampu mencatatkan nilai jualan lebih RM7 juta, buat kali kedua
anjurannya tahun ini.
Unjuran jualan tersebut mengambil kira transaksi antara peserta
pameran yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
tempatan dan 70,000 pengunjung yang dijangka hadir.
Bagaimanapun, ia tidak mengambil kira nilai perniagaan yang mungkin
terjalin antara PKS terbabit dengan pusat beli-belah ternama seperti
Tecso, Giant, Mydin dan Carrefour yang turut dijemput ke Halfest 2012.
Pengurus Besar Shapers Malaysia selaku syarikat yang menguruskan
Halfest, Mohd. Shukri Abdullah berkata, jangkaan jualan sebanyak RM7
juta itu lebih tinggi berbanding pencapaian tahun lalu iaitu RM6 juta.
"Kebanyakan peserta adalah kumpulan peniaga PKS, maka jualan yang direkodkan tidaklah begitu tinggi berbanding penganjuran lain.
"Namun, pencapaian pada Halfest 2011 (RM6 juta) telah mengatasi
sasaran awal yang disasarkan sebelum itu," katanya kepada pemberita pada
sidang akhbar bagi mengumumkan subsidi menyewa 50 gerai pameran Halfest
2012, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk
Nadzim Johan dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia,
Hanafee Yusoff
Jelas Mohd. Shukri, Halfest merupakan pameran produk halal terbesar
di negara ini dan yang hanya terbuka kepada syarikat-syarikat tempatan.
Ia bakal berlangsung dari 10 hingga 14 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
"Halfest boleh digunakan sebagai medan mempromosi produk milik PKS
yang masih belum dikenali. Ia tidak seperti penganjuran pameran halal
yang lain di mana kebanyakannya melibatkan penyertaan banyak syarikat
asing," katanya.
Pada sidang akhbar itu, penganjur turut menawarkan 50 gerai pameran yang telah disubsidikan separuh harganya.
No comments:
Post a Comment