Wednesday, September 26, 2012

Halfest unjur urus niaga cecah RM7j

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/HalfestunjururusniagacecahRM7j/Article/index_html

Published: September 26, 2012

EKSPO barangan dan perkhidmatan halal terbesar, Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2012 yang akan berlangsung pada Oktober ini diunjurkan memiliki potensi urus niaga mencecah RM7 juta.
Pengurus Besar Shapers Malaysia Sdn Bhd selaku penganjur ekspo, Mohd Syukri Abdullah berkata, kira-kira 700 pempamer terdiri daripada 80 peratus usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal memasarkan produk mereka kepada pengguna tempatan selain memperluas jaringan perniagaan masing-masing.

“Halfest adalah platform yang komprehensif untuk pengeluar dan penyedia perkhidmatan halal mempromosi dan memasar produk mereka kepada pengguna tempatan, di samping meningkatkan hubungan perniagaan di antara pihak berkepentingan industri.

“Ini adalah penganjuran kali kedua hasil sambutan menggalakkan tahun lalu. Ekspo ini juga bertujuan membudayakan penggunaan barangan halal di kalangan umat Islam di Malaysia,” katanya.

Mohd Syukri berkata, pihaknya menyasarkan 70,000 pengunjung bakal membanjiri ekspo yang bermula pada 10 hingga 14 Oktober 2012.

“Walaupun kita menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) namun ia berbeza kerana Halfest lebih memberi peluang kepada PKS berskala kecil untuk dibangunkan. Kami menyeru agar usahawan PKS merebut peluang kerana ia masih terbuka kepada 100 pempamer lagi ,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam PPIM membuka peluang menawarkan tapak berharga RM1,650 berbanding harga asalnya RM3,300 kepada perusahaan mikro Bumiputera.

Setiausaha Kerjanya, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menawarkan peluang ini kepada usahawan dengan pensijilan halal untuk bersaing dengan syarikat lain.

No comments: