Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JualanRM100j/Article/index_html
Published: September 21, 2012
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin), syarikat peruncitan terbesar di
negara ini yakin rangkaian produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
tempatan yang dipasarkan di 150 cawangannya di seluruh negara dijangka
mencecah jualan RM100 juta sehingga akhir tahun ini berbanding RM75 juta
sepanjang tahun lalu.
Ketika ini, lebih 530 usahawan PKS tempatan terbabit memasarkan
lebih 5,000 jenis produk di rangkaian Pasar Raya Mydin di seluruh negara
termasuk di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).
Pengurus Mydin,
Norman Rajen Abdullah berkata, pihaknya menjangka sasaran jualan
keluaran IKS tempatan itu meliputi pelbagai produk termasuk makanan,
minuman, kosmetik serta jamu dapat dicapai disokong jualan di rangkaian
KR1M di seluruh negara.
“Ketika ini, hanya 10 peratus produk PKS tempatan dapat menembusi
rangkaian Pasar Raya Mydin di seluruh negara dan ia jauh ketinggalan
berbanding sasaran 30 peratus yang disarankan kerajaan sebelum ini.
“Justeru, kami kini sedang berusaha dengan pelbagai pihak termasuk
Koperasi Groom Big dan Koperasi Usahawan Wilayah Utara Perak Bhd (KOPUB)
untuk membawa masuk lebih banyak produk IKS ke pasar raya kami,”
katanya pada sidang media pada sesi padanan perniagaan antara usahawan
Groom Big bersama Mydin di Ipoh, semalam.
Majlis
disempurnakan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Keusahawanan,
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Abdul
Ghafar Musa.
No comments:
Post a Comment