Monday, September 17, 2012

Mohon RM50j

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MohonRM50j/Article/index_html

Published: September 17, 2012
Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my

Nazrin Hassan
Nazrin Hassan 

CRADLE Fund Sdn Bhd, agensi di bawah Kementerian Kewangan yang menyalurkan geran kepada usahawan teknologi menganggarkan dapat menyalurkan peruntukan RM30 juta pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazrin Hassan berkata, setakat ini, pihaknya sudah pun meluluskan sejumlah 477 geran CIP Catalyst kepada usahawan teknologi dengan jumlah pelaburan bernilai kira-kira RM45.7 juta.

Beliau berkata, Cradle juga sudah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk menubuhkan dana modal teroka peringkat awal berjumlah RM50 juta tahun depan yang akan menarik pelaburan minoriti daripada pelabur swasta.

“Cradle dijangka diberi peruntukan RM30 juta tahun depan dan kami yakin akan dapat mencapai sasaran kadar pengkomersialan untuk CIP Catalyst tahun ini pada kadar 57 peratus.

“Selain itu, rancangan untuk mendirikan dana modal teroka ini juga sudah dirancang sejak 2009 lagi dan adalah fasa pertumbuhan untuk Cradle. Buat masa ini, Cradle sedang menunggu kelulusan untuk menubuhkan dana modal teroka ini bagi mengisi ketandusan sumber modal teroka pada peringkat awal,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, bagi peringkat komersial pula, Nazrin memaklumkan agensinya menyasarkan sehingga 57 peratus pada 2012 berbanding 55 peratus tahun lalu selain menyasar untuk menjadi peneraju penyedia dana perniagaan peringkat permulaan di Malaysia yang menyediakan geran efektif, sokongan pengkomersilan serta bimbingan bagi memacu pertumbuhan syarikat baru.

Bagaimanapun, satu lagi program pelaburan Cradle iaitu CIP500 mencatatkan hasil memberangsangkan apabila Cradle meluluskan sejumlah 91 syarikat untuk geran CIP500 dengan jumlah pelaburan kira-kira RM41 juta.

“Sasaran untuk kelulusan Indeks Prestasi Utama (KPI) menjelang akhir tahun 2012 ialah sebanyak 16 syarikat tetapi berasaskan pencapaian setakat ini, kami yakin yang Cradle akan mencapai lebih daripada sasaran berkenaan untuk tahun ini.

“Kami tidak mahu sewenang-wenangnya meluluskan permohonan demi memelihara standard serta KPI yang ditetapkan, malah Cradle berjaya mengkomersialkan syarikat berteraskan teknologi dan sains yang baru bertapak di Malaysia,” katanya.

No comments: