Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=696804
Published: September 24, 2012
Oleh Ahmad Fuad Yahya
JAKARTA, 24 Sept (Bernama) -- Para usahawan Malaysia perlu meneroka
peluang-peluang perniagaan di luar Jakarta kerana pertumbuhan ekonomi
Indonesia yang baik telah banyak membuka peluang baru di seluruh
Indonesia.
Penasihat Ekonomi di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Syahril
Syazli Ghazali berkata Surabaya misalnya, merupakan kota industri yang
pesat membangun dan merekodkan pertumbuhan ekonomi 6.73 peratus pada
tahun lepas.
Permintaan terhadap produk industri dan pengguna di Surabaya pada masa
ini adalah begitu memberangsangkan, katanya ketika dihubungi di
Surabaya pada Isnin.
Beliau berada di Surabaya bersama 30 usahawan Malaysia, yang sedang
dalam rangka lawatan empat hari ke Indonesia bagi mengintai peluang
perniagaan dan pelaburan di dua kotaraya besar Indonesia iaitu Surabaya
dan Jakarta.
Yang turut serta bersama delegasi usahawan Malaysia itu ialah
Pesuruhjaya Perdagangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar
Malaysia (Matrate) di Jakarta, Nadzri Shamsuddin.
Syahril berkata Indonesia menawarkan pasaran yang cukup besar kepada para pengeksport Malaysia.
"Ekonomi Indonesia yang dipacu oleh permintaan domestik, dan
peningkatan kuasa beli oleh rakyat Indonesia secara langsung membuka
lebih banyak peluang kepada syarikat dari Malaysia untuk memenuhi
permintaan terhadap pelbagai produk dan perkhidmatan khususnya dari
bandar-bandar besar seperti Jakarta, Surabaya dan Medan," katanya.
Semasa ditanya mengenai implikasi terhadap hubungan ekonomi dua hala
Malaysia-Indonesia jika produk import Malaysia membanjiri pasaran
Indonesia, Syahril berkata persaingan produk import dan produk tempatan
tidak dapat dielakkan di mana-mana pasaran apabila sesebuah negara
termasuk negara-negara ASEAN meliberalisasikan ekonomi.
"Sememangnya tujuan utama negara-negara di dunia melakukan kerjasama
ekonomi adalah supaya produk dan perkhidmatan yang berkualiti dapat
sampai kepada pengguna akhir dengan harga yang lebih murah.
"Hal yang sama berlaku di Malaysia. Selain daripada bahan-bahan mentah
dan separuh siap yang banyak diimport dari Indonesia, restoran dan
produk-produk makanan Indonesia juga semakin popular di Malaysia,"
katanya.
Program lawatan 30 usahawan Malaysia dari 21 syarikat ke Surabaya dan
Jakarta itu, dianjurkan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM)
di bawah misi perdagangan dan pelaburan.
Para usahawan Malaysia itu mengisi program itu dengan jadual ketat
pertemuan dan perbincangan dengan pihak kerajaan negeri serta para
pemimpin Dewan Perniagaan dan Industri (KADIN) dan anggota perniagaan di
kedua-dua bandar raya itu.
Mereka juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak Badan
Penyelarasan Penanaman Modal (BKPM) di Jakarta selain melawat kawasan
industri di Surabaya dan Jakarta.
Syahril berkata program lawatan yang dimulai di Surabaya pada Isnin
dan Selasa itu, memberi tumpuan kepada lima bidang ekonomi iaitu baja
dan produk pertanian; produk kimia dan plastik; alat ganti automotif;
mesin dan peralatan industri serta pengurusan sisa buangan.
"Aktiviti ekonomi yang melibatkan para usahawan dan ahli perniagaan
Malaysia dan Indonesia semakin meningkat sejak beberapa tahun
kebelakangan ini.
"Nilai perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia meningkat
kepada US$18.1 bilion pada tahun lalu berbanding US$14.7 bilion pada
tahun 2010," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment