Thursday, September 6, 2012

Bina kilang sate

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Binakilangsate/Article/index_html

Published: September 04, 2012
Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my

SATAY Station Sdn Bhd (Satay Station) komited untuk meningkatkan jumlah jualannya kepada RM15 juta menjelang akhir tahun ini apabila disokong dengan beberapa pembukaan cawangan barunya di seluruh Lembah Klang.

Pengasas dan pengurus restorannya, Zul Karnain Abdullah berkata, setiap tahun pihaknya menikmati peningkatan jualan lebih lima peratus dan dalam pada itu turut merancang membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara.

Katanya, setakat ini ada tujuh cawangan Satay Station di seluruh Lembah Klang dan bulan depan pihaknya akan membuka cawangan ke-8 di Plaza Masalam, Shah Alam.

“Pelaburan bagi membuka setiap cawangan Satay Station antara RM300,000 dan RM500,000 bergantung kepada lokasi dan saiz. Bagaimanapun, sehingga akhir tahun ini kami menyasar untuk membuka dua lagi cawangan menjadikan jumlah keseluruhan 10 Satay Station di Lembah Klang saja.

“Kami juga merancang membina kilang sendiri dan ia dijangka akan beroperasi dalam tempoh dua tahun lagi bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, selain menjual sate pihaknya juga menyediakan mi rebus sebagai menu pilihan dan untuk cawangan baru di Shah Alam pula turut menjual nasi beriyani sebagai set makanan tengah hari.

Zul berkata, pihaknya memfokus kepada sate ayam dan daging yang dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun dan menjelang 2020 beliau mahu Satay Station menjadi restoran makanan segera yang dapat menandingi jenama lain termasuk antarabangsa.

Beliau berkata, Satay Station juga akan memperluaskan pasaran ke luar negara dan membawa jenamanya ke seluruh dunia terutama dengan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti produknya terjamin.

“Kami masih dalam proses pembelajaran dalam menghidangkan makanan sate ini supaya ia diterima di seluruh negara dan walaupun baru tiga tahun lebih di pasaran masih banyak yang perlu kami pelajari dan disebabkan itu kami belum bersedia untuk mencari rakan niaga atau membuka peluang francais.

“Di Satay Station juga kami turut menerima tempahan untuk semua majlis keramaian dan untuk sebarang pertanyaan boleh e-mel ke sataystation@yahoo.com,” katanya.

No comments: