Sunday, September 9, 2012

Matrade buka pejabat di Kuantan

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20120909/wp_01/Matrade-buka-pejabat-di-Kuantan

Published: September 09, 2012, 2012
Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
Nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 8 Sept. - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan membuka pejabatnya di bandar ini bagi membantu usahawan dan pengeksport negeri ini meneroka pasaran luar negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan berkata, pejabat itu akan dibuka kepada usahawan setiap Khamis dan Jumaat untuk memudahkan mereka mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan profesional.

Tambahnya, pembukaan pejabat di negeri itu berikutan pembabitan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) negeri ini yang masih kecil dalam menerokai pasaran antarabangsa.

"Daripada jumlah usahawan IKS seluruh negara yang bersama Matrade, cuma 1.1 peratus saja usahawan Pahang yang terbabit secara aktif dan jumlah itu sangat rendah sedangkan banyak produk IKS negeri ini boleh dikomersialkan ke peringkat antarabangsa," katanya pada sidang akhbar selepas Program Matrade Bersama Usahawan dan Pengeksport Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, di sini kelmarin.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhammad mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menurut beliau, pejabat yang berperanan sebagai pusat sehenti itu dapat membuka laluan kepada usahawan setempat menerokai pasaran lebih luas.

Sehubungan itu katanya, syarikat di negeri ini disaran bertindak lebih agresif bagi merebut peluang yang ada dengan menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan Matrade.

Katanya, Pahang mempunyai banyak produk dan perkhidmatan yang berpontensi untuk dibangunkan di pasaran eksport.

"Antaranya industri makanan, minuman, tembakau, bahan mentah, kimia, kelengkapan mesin, pengangkutan dan bahan mineral.

"Saya percaya program-program yang disediakan ini dapat membantu syarikat di Pahang mengembangkan perniagaan mereka di pasaran global," katanya.

No comments: