Thursday, September 27, 2012

Restoran mudah alih RFC

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/restoran-mudah-alih-rfc-1.88921

Published: September 27, 2012
NURAINN AZHAR

Restoran mudah alih RFC
Shafee (tengah) menunjukkan Hot Dujaj dan Mee Bandung RFC.

Radix Fried Chicken (RFC) kini mengetengahkan konsep restoran mudah alih menggunakan trak bagi memenuhi permintaan pelanggan khususnya di kawasan pesat.
Pengerusi RFC Malaysia, Datuk Ahmad Shafee Sabaruddin berkata, syarikat memperuntukkan hampir RM400,000 bagi menyiapkan sebuah model trak menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya,  trak itu akan ditempatkan di kawasan pusat bandar dan digunakan pada majlis keramaian sebagai salah satu mekanisme mengetengahkan produk RFC.

“Selain memperkenalkan konsep ini, RFC akan membuka cawangan baru yang dijangka siap pada penghujung Oktober nanti bagi melengkapkan 11 cawangan semuanya bagi tahun ini.

“Pembukaan cawangan baru tersebut melibatkan pelaburan RM1.2 juta dan pelanggan berpeluang menikmati 16 jenis menu ditawarkan sehingga kini,” katanya pada majlis pelancaran dua menu baru RFC di Seksyen 7, Shah Alam, semalam.

Shafee berkata, RFC optimis dapat membuka 50 cawangan di seluruh negara menjelang 2017 dan meningkatkan mutu dan kualiti produk supaya dapat bersaing pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Shafee berkata, RFC kini memperkenalkan dua menu baru iaitu ayam goreng Hot Dujaj dan Mee Bandung. Keistimewaan Hot Dujaj adalah kepedasan cili Bhut Jolokia yang digunakan.

“Kedua-dua menu boleh didapati di cawangan Shah Alam hari ini (semalam), manakala cawangan lain bermula esok (hari ini). Hot Dujaj dijual antara harga RM9 hingga RM11, bergantung pada kuantiti ayam dan Mee Bandung pula RM6.90.

“Hot Dujaj dikategorikan sebagai menu bermusim kerana bergantung kepada stok cili Bhut Jolokia yang boleh diperoleh. RM70,000 diperuntukkan bagi penyediaan bahan asas khususnya cili bhut Jolokia,” katanya.

Sebelum ini, tujuh daripada cawangan RFC dikendalikan HPA, manakala tiga di bawah Darul Rahmat Sdn Bhd. Kini, pengurusan bagi semua cawangan terletak di bawah Darul Rahmat Sdn Bhd sebagai pengurusan baru.

No comments: