Friday, September 7, 2012

Program Francais Komuniti Catat Nilai Potensi Pelaburan Francaisi RM99.3 Juta, Kata Ismail Sabri

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=692855

Published: September 07, 2012

MELAKA, 7 Sept (Bernama) -- Program Francais Komuniti telah mencatatkan pencapaian nilai potensi pelaburan francaisi berjumlah RM99.3 juta dengan jumlah bilangan keseluruhan 1,040 bakal francaisi sejak dilancarkan pada Oktober tahun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu agak memberangsangkan dan ternyata sistem francais boleh mewujudkan golongan usahawan tempatan yang berkemampuan untuk menguruskan perniagaan dengan berkesan.

"Pada masa yang sama, skim pinjaman mikro yang diwujudkan kerajaan bagi menceburi bidang perniagaan francais telah meluluskan pinjaman RM4.92 juta kepada 202 bakal francaisi sehingga 30 Ogos lepas," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Francais Komuniti peringkat Negeri Melaka di sini pada Jumaat.

Beliau berkata skim pinjaman mikro yang dinamakan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) menawarkan kemudahan pinjaman bagi warganegara yang berumur 21 tahun ke atas dan tidak melebihi 65 tahun dengan pinjaman tidak melebihi RM50,000 dan margin pembiayaan sehingga 90 peras dengan kadar faedah 3.0 peratus setahun sahaja.

"Saya menyeru bakal usahawan francaisi supaya jangan terlepas peluang merebut kemudahan SPKF ini yang disediakan peruntukan dana RM8 juta oleh kerajaan," katanya.

Program Francais Komuniti sebelum ini telah diadakan di 13 lokasi dan sembilan negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai satu pusat sehenti di mana kementerian membawa bersama 26 francaisor yang terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan francais.

Menurutnya, perniagaan francais terbuka kepada semua golongan termasuk mereka yang bekerja sendiri, pesara, golongan wanita, ibu tunggal, orang kurang upaya, siswazah lepasan universiti, para penjaja kecil serta golongan sasar lain.

"Matlamat keseluruhan program ini ialah membantu menjana pendapatan tambahan isi rumah yang akhirnya akan membantu membangunkan ekonomi negara," katanya.

Sehingga 30 Ogos lepas, katanya 621 sistem francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan dan 5,527 perniagaan francaisi telah diwujudkan.

Katanya Melaka juga tidak ketinggalan dalam melahirkan francaisor termasuk Bahulu Warisan, Tai Chi Nyonya House dan Jonker Walk Kopitiam.

-- BERNAMA

No comments: