Monday, September 17, 2012

Buka kedai konsep 1Malaysia

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bukakedaikonsep1Malaysia/Article/index_html

Published: September 17, 2012

KUMPULAN aL-ikhsaN menerusi anak syarikatnya, aN Sport Sdn Bhd (aN Sport) akan membuka kedai berkonsepkan 1Malaysia yang mana orang ramai mampu memiliki pelbagai barangan sukan pada harga RM100 ke bawah dengan cawangan pertama di Sungai Lalang, Kedah yang dijangka dibuka pada Oktober depan.

Ketua Pegawai Operasinya, Yuremi Mohd Nor berkata, syarikat menyasarkan untuk membuka lima cawangan aN Sport tahun ini dan membuka 25 lagi cawangan pada tahun depan di Semenanjung Malaysia. Beliau berkata, pihaknya menyasarkan perolehan RM100 juta menerusi pembukaan 200 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan sasaran membuka sehingga 1,000 cawangan menjelang 2020.

“Produk yang dijual di aN Sport disasarkan kepada orang ramai yang berpendapatan sederhana, tetapi mereka mampu untuk memiliki produk sukan yang berkualiti dan berjenama antarabangsa.

“Kami akan menawarkan 60 peratus kasut sukan berjenama terkenal seperti Admiral dan Kronos. Manakala 40 peratus lagi terdiri daripada sandal serta selipar daripada jenama antarabangsa,” katanya.

Katanya, penubuhan aN Sport juga adalah langkah bagi membolehkan kumpulan itu mempromosikan pelbagai jenama edarannya termasuk jenama dibangunkan sendiri syarikat iaitu aL Brand yang kini mendapat sambutan daripada pelanggan.

“Apabila kami membuka aL-ikhsaN, banyak permintaan memperkenalkan konsep francais, tetapi tidak dapat dilakukan kerana kami perlu menjaga imej dan kualiti produk antarabangsa yang sudah ditetapkan,” katanya.

No comments: