Friday, September 28, 2012

Cukai korporat berdaya saing

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cukaikorporatberdayasaing/Article/index_html

Published: September 28, 2012

MAJLIS Perundingan Ekonomi Melayu (Mapem) menyarankan kerajaan supaya memperkenal cukai korporat yang lebih berdaya saing dalam Bajet 2013 yang akan dibentangkan esok bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi dan operasi perniagaan di negara ini.

Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, insentif seperti pengecualian cukai berganda boleh diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ini juga termasuk syarikat yang mengambil bahagian dalam program Teras Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), yang membawa masuk teknologi asing yang disesuaikan dengan cita rasa tempatan. “Ini akan membantu meningkatkan penyertaan syarikat atau usahawan tempatan dalam pemindahan teknologi atau mendapatkan teknologi asing bagi pasaran tempatan dan serantau, sama ada melalui usaha sama atau perkongsian dengan entiti asing,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam. Rozali berkata Teraju haruslah lebih berkesan dan agresif dalam usahanya untuk menerajui inisiatif untuk menambah bilangan syarikat Bumiputera yang berprestasi tinggi.

Walaupun Mapem memuji inisiatif kerajaan dalam menarik lebih banyak rakyat Malaysia pulang ke tanah air untuk menyumbang kepada negara, namun kerajaan haruslah juga mengkaji untuk memperluas struktur cukai pendapatan peribadi sekarang. Beliau berkata struktur cukai pendapatan yang menyenangkan boleh mencegah rakyat Malaysia daripada mencari peluang pekerjaan di luar negara.

No comments: