Thursday, September 27, 2012

Restoran bergerak RFC

RADIX Fried Chicken (RFC) Malaysia merancang menyediakan restoran bergerak menggunakan trak membabitkan kos RM400,000 sebagai kaedah pemasaran strategik terbaru restoran makanan segera di sekitar Lembah Klang mulai Disember ini.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RestoranbergerakRFC/Article/index_html
Published: September 27, 2012

Pengerusinya, Datuk Ahmad Shafee Sabaruddin berkata, perkhidmatan itu dimulakan di wilayah tengah dengan menyasar lokasi tumpuan ramai termasuk acara dijalankan di institusi pengajian tinggi selain mempunyai perancangan membuka cawangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Selepas mengambil alih sepenuhnya RFC daripada HPA Industries Sdn Bhd (HPA) berkuatkuasa 1 Ogos lalu, kami menyusun pelbagai strategi untuk terus mendekati pelanggan dan mempromosi produk kami secara terus kepada mereka, selain menerusi 10 restoran sedia ada. “Kami ingin mengubah persepsi orang ramai dan mahu RFC diterima semua bangsa kerana produk ditawarkan berasaskan bahan organik serta memenuhi permintaan makanan halal dan sihat,” katanya selepas majlis pelancaran menu baru RFC Ayam Goreng Hot Dujaj dan Mee Bandung di Shah Alam, semalam.

RFC diambil alih Darul Rahmat Sdn Bhd (Darul Rahmat), syarikat Bumiputera dengan modal berbayar RM10 juta yang juga pemilik tiga daripada 10 restoran RFC.

Beliau berkata, pihaknya membuka sebuah lagi restoran RFC di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada akhir Oktober ini dengan nilai pelaburan dianggarkan RM1.2 juta dan merancang mempunyai 50 restoran di seluruh negara menjelang 2017 selain menawarkan peluang francais kepada mereka yang berminat.

Mengenai menu terbaru itu, Ahmad Shafee berkata, ayam yang digoreng dengan rempah itu menggunakan cili Bhut Jolokia yang terdapat di kawasan pergunungan timur laut India dan Bangladesh dikenali sebagai ‘Ghost Chilli’, iaitu cili paling pedas di dunia yang hanya boleh didapati mengikut musim.

Cili Bhut Jolokia 17 kali lebih pedas daripada cili padi dan diiktiraf sebagai cili terpedas di dunia oleh Guinness World of Records, namun diproses bagi selera tempatan. Katanya, set hidangan ayam goreng itu boleh dinikmati pada harga RM9 hingga RM11 di 10 cawangan RFC di seluruh negara bermula hari ini manakala hidangan Mee Bandung yang popular di Johor pada harga RM6.90.

No comments: