Monday, September 10, 2012

Mydin labur RM65j buka pasar raya borong di Gopeng

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MydinlaburRM65jbukapasarrayaborongdiGopeng/Article/index_html

Published: September 10, 2012

MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin) melabur RM65 juta bagi gedung pasar raya borong yang dijangka dibuka di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Ipoh pada akhir November ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, Mydin Mall yang dibuka di RTC Gopeng itu mempunyai konsep berbeza dengan cawangan Mydin lain kerana pihaknya memberi tumpuan kepada jualan produk hasil industri kecil dan sederhana (IKS).

“Pasar raya Mydin di RTC Gopeng lebih menumpukan kepada barangan IKS, ruang jualan untuk disewa juga kami beri kepada pengusaha IKS selain memodenkan kaedah penjualan hasil tanaman dan ternakan seperti sayur-sayuran, ikan dan daging,” katanya pada jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran pasar raya borong Mydin di Gugusan Manjoi, Perak.
Beliau berkata, pembukaan cawangan itu sekali gus menjadi cawangan ketiga Mydin di Perak selepas cawangan di Gugusan Manjoi dan di Meru Raya, dua bulan lalu.

Katanya, pembukaan cawangan baru itu tidak menjejaskan peniaga dan pemborong sedia ada di RTC Gopeng, sebaliknya pihaknya berusaha membantu meningkatkan sistem jualan borong serta peruncitan di kawasan itu supaya lebih sistematik dan mementingkan aspek kebersihan.

“Selain itu, kami juga menempatkan lebih banyak gerai jualan dan makanan bagi menarik kedatangan pengunjung ke RTC berkenaan. Pada masa sama, kami menyediakan lebih 100 kios atau gerai berkonsepkan ‘flea market’ bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan memasarkan produk jualan masing-masing,” katanya. - Bernama

No comments: