Friday, September 14, 2012

Malaysia Dipilih Anjur Mesyuarat World Franchise Council 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=694798

Published: September 14, 2012

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bagi mesyuarat World Franchise Council (WFC) pada tahun depan, yang antara lain merupakan sebuah platform bagi francais dari 53 buah negara seluruh dunia berkongsi maklumat mengenai pembangunan industri francais global.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), pelawaan daripada WFC itu telah diterima oleh Menteri PDNKK Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini dalam rangka lawatan empat hari ke Istanbul, Turki sehingga esok atas jemputan WFC dan Turkey Franchise Association (UFRAD).

"Malaysia juga akan mengadakan satu Regulators Roundtable Discussion sempena mesyuarat WFC 2013 yang akan mewujudkan ruang perbincangan dan perkongsian pengalaman-pengalaman dalam pengembangan industri francais di negara masing-masing," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, semasa di Istanbul, Ismail Sabri turut dijemput merasmikan Turkey Franchise Exhibition 2012 dan memberikan ucapan dasar mengenai francais dunia selain mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Ekonomi Negara Turki Mustafa Keser bagi membincangkan kerjasama berpotensi dua hala berhubung isu-isu berkaitan francais untuk perkembangan perniagaan francais di kedua-dua negara.

"Jemputan WFC dan UFRAD kepada Menteri PDNKK merupakan penghormatan dan pengiktirafan kepada kerajaan Malaysia dan juga merupakan potensi untuk mempromosikan dan meningkatkan reputasi serta kredibiliti francais Malaysia di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

No comments: