Friday, September 14, 2012

Pembiayaan baru untuk PKS

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120914/ek_02/Pembiayaan-baru-untuk-PKS

Published: September 14, 2012

Md. Zubir Ansori Yahaya (kanan) memberi penerangan mengenai MDV 
iFactoring dan MDV Equity Linked Financing Structure sambil diperhatikan 
oleh (dari kiri), Amiruddin Kemat, Angie Law Lee Cheng, Adrian Khor Yew 
Meng dan Nizam Mohamed Nadzri pada majlis pelancaran produk itu di 
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Muhamad Iqbal Rosli

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Malaysia Debt Ventures Bhd. (MDV), memperkenalkan dua lagi produk pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi serta industri baru, iaitu iFactoring dan Struktur Pembiayaan Berkaitan Ekuiti.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Md. Zubir Ansori Yahaya berkata, tarikan utama dua produk pembiayaan itu adalah kesediaan aliran tunai yang cepat dan pilihan bagi menukarkan baki tertunggak kepada bentuk ekuiti.

Katanya, iFactoring menyediakan aliran tunai yang cepat kepada sesebuah syarikat jika mahu mendapatkan perniagaan baru dengan bayaran pendahuluan kepada pemohon sehingga 80 peratus.

Manakala Struktur Pembiayaan Berkaitan Ekuiti, menyediakan pilihan kepada pemohon dengan hutang yang masih belum dibayar boleh ditukarkan kepada bentuk ekuiti yang akan dimiliki oleh MDV tetapi tidak melebihi 20 peratus pegangan.

"Kedua-dua bentuk pembiayaan itu turut menggunakan konsep syariah.

"Berdasarkan struktur yang ditawarkan, MDV menjangkakan ia mampu menguasai sebahagian besar sektor PKS berkaitan teknologi tinggi iaitu ICT, bioteknologi dan teknologi hijau," katanya kepada pemberita pada majlis pengenalan dua produk itu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden Bahagian Perancangan Korporat dan Komunikasi MDV, Amiruddin Kemat, Naib Presiden Bahagian Perniagaan MDV, Angie Law Lee Cheng, Naib Presiden Kanan Bahagian Perniagaan MDV, Nizam Mohamed Nadzri dan Naib Presiden Kanan Bahagian Pengurusan Risiko MDV, Adrian Khor Yew Meng.

Jelas Md. Zubir iFactoring dan Struktur Pembiayaan Berkaitan Ekuiti merupakan tambahan kepada 15 produk pembiayaan di bawah MDV setakat ini.

Sejak ditubuhkan pada 2002, MDV yang merupakan badan pembiaya di bawah Kementerian Kewangan, telah meluluskan RM6.25 bilion pembiayaan kepada 445 syarikat.

Beliau berkata, 73 peratus syarikat peminjam adalah berstatus PKS serta 62 peratus daripada keseluruhan peminjam adalah syarikat bumiputera.

No comments: