Tuesday, September 25, 2012

Kosmetik Berasaskan Rumpai Laut Jana Pendapatan Pengusaha

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Pendapatan pengusaha rumpai laut di negara ini dijangka meningkat kira-kira 50 peratus pada masa akan datang apabila penggunaannya diperluas menerusi penghasilan kosmetik.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=697080
Published: September 25, 2012

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata mereka yang kini memperolehi sekitar RM2,200 sebulan dijangka meraih sehingga RM3,600 menjelang 2020 melalui penjualan rumpai laut dan produk berasaskan bahan itu termasuk kosmetik. "Ini antara usaha kita pastikan bahan mentah daripada hasil rumpai laut dijadikan produk-produk untuk kita komersilkan supaya industri ini lebih berdaya saing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengkomersilan dan padanan perniagaan produk kosmetik OCEANbioactive yang berasaskan rumpai laut, di sini hari ini. Pada tahun lepas, Malaysia mengeluarkan kira-kira 23,000 tan metrik rumpai laut kering bernilai RM35 juta.

Perusahaan itu kini menjadi sumber pendapatan kepada lebih 1,000 nelayan yang mengusahakan kira-kira 7,000 hektar kawasan pengkulturan rumpai laut di perairan pantai timur Sabah. -- LAGI RUMPAI LAUT-KOSMETIK 2 (AKHIR) PUTRAJAYA Mengenai kosmetik rumpai laut, Ahamad Sabki berkata menerusi penyelidikan bersama Jabatan Perukanan dan Sirim Berhad, sebanyak 12 produk dihasilkan meliputi rangkaian penjagaan kulit ''Ocean Beau'', rangkaian produk penjagaan kulit muka lelaki ''Ocean Guy'', produk penjagaan diri ''Ocean Bloom'' dan ubat gigi ''Ocean Fresh''. Beliau berkata pada majlis itu, 22 usahawan syarikat swasta dijemput untuk memberi peluang kepada mereka memasarkan produk berkenaan dengan jenama sendiri. Katanya harga jualan produk di pasaran turut bergantung kepada syarikat berdasarkan segmen pasaran masing-masing dan dijangka berada di pasaran sebulan dari sekarang.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Berhad Dr Zainal Abidin Mohd Yusof berkata hasil penyelidikan mendapati ekstrak rumpai laut boleh bertindak sebagai agen pencerahan kulit semula jadi dan membantu meningkatkan kelembapan kulit serta memperbaiki struktur kulit. Kesemua produk telah menjalani beberapa peringkat penyelidikan dan pengujian untuk memastikan produk terbabit berkualiti,
 selamat dan berkesan, katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Naib Presiden Bahagian Reka Bentuk dan Kejuruteraan Dr Mohd Jamil Sulaiman.

Katanya pengeluaran produk akan dibuat di loji perintis kosmetik Sirim Berhad yang bertaraf Amalan Pengilangan Terbaik (GMP) dan mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). "Mereka juga akan diberikan bimbingan oleh Sirim dalam mendapatkan kelulusan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan serta pensijilan halal daripada Jakim serta dibantu dari segi reka bentuk pembungkusan dan pelabelan produk," katanya.

-- BERNAMA

No comments: