Thursday, September 13, 2012

Mara Salurkan RM401 Juta Kepada 4,700 Usahawan

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=694424

Published: September 13, 2012

KUALA PILAH, 13 Sept (Bernama) -- Sehingga akhir bulan lepas, Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyalurkan sebanyak RM401.8 juta untuk pelbagai pinjaman kepada lebih 4,700 usahawan Mara seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Mara (Keusahawanan) Mohd Rosdi Ismail berkata jumlah itu melebihi sasaran yang ditetapkan bagi tahun ini, iaitu RM400 juta untuk 4,690 usahawan.

"Di Negeri Sembilan ini sahaja, sasaran kami adalah 342 orang usahawan dengan peruntukan RM29 juta tapi sehingga Ogos lepas, ia melebihi sasaran 401 usahawan dengan peruntukan pinjaman sebanyak RM33.2 juta.

"Kami masih mengalu-alukan mereka yang ingin menjadi usahawan Mara kerana kami akan tetap salurkan pinjaman jika ada peruntukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bazar Mara Pelangai, di Pelangai, di sini Khamis.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah.

-- BERNAMA

No comments: