Tuesday, September 18, 2012

Sumbangan PKS Kepada kDNK Terus Meningkat, Kata Nor Mohamed

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=695483

Published: September 18, 2012

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus meningkat, daripada 29.4 peratus pada tahun 2005 kepada 32.5 peratus pada 2011, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata pertumbuhan PKS juga berjaya mengatasi pertumbuhan keseluruhan ekonomi bagi tempoh 2006 hingga 2011, dengan kadar pertumbuhan PKS bagi 2011 merekodkan 6.8 peratus berbanding pertumbuhan KDNK keseluruhan sebanyak 5.1 peratus, dengan sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar.

"Hasil Banci PKS 2011 merekodkan sejumlah 645,136 pertubuhan aktif PKS yang menjalankan perniagaan di Malaysia. Jumlah ini mewakili 97.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pertubuhan yang aktif semasa banci dilaksanakan atau 662,939 pertubuhan.

"Daripada jumlah itu, 90 peratus terlibat menjalankan aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan (5.9 peratus) dan pembinaan (3.0 peratus).

"Selebihnya menjalankan aktiviti perniagaan dalam sektor pertanian (1 peratus) dan perlombongan & kuari (0.1 peratus)," kata nya ketika mengumumkan Laporan Banci Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2011 di sini.

Katanya PKS juga berjaya menarik seramai 3.7 juta pekerja dengan 77.7 peratus pekerja bertaraf bergaji sepenuh masa, selain produktiviti pekerja PKS turut mencatatkan peningkatan sebanyak 16.6 peratus.

Mengenai penglibatan kaum wanita dalam PKS, beliau berkata daripada 645,136 pertubuhan PKS yang aktif, hanya 19.7 peratus dimiliki kumpulan tersebut.

Menurutnya walaupun penglibatan wanita dalam PKS masih rendah jika dibandingkan dengan wanita negara lain seperti Taiwan 36.2 peratus dan Australia 31.5 peratus, namun ia terus menunjukkan peningkatan mendadak.

"Statistik menunjukkan bahawa 46 peratus daripada kira-kira 9.2 juta wanita yang berumur antara 15 dan 64 tahun mempunyai pekerjaan sendiri. Saya gembira dengan penglibatan wanita dalam ekonomi secara keseluruhannya. Ia terus meningkat," katanya.

Berhubung penglibatan dan penguasaan negeri pula, katanya lebih daripada 50 peratus PKS tertumpu di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Perak manakala Sabah dan Sarawak mewakili 13.1 peratus daripada jumlah PKS.

-- BERNAMA

No comments: