Monday, September 3, 2012

Konsep francais bergerak

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Konsepfrancaisbergerak/Article/index_html

Published: September 03, 2012

PERBADANAN Nasional Bhd (PNS) komited memperkenalkan perniagaan francais baru serta unik dari semasa ke semasa, sekali gus menggalakkan masyarakat menceburi bidang perniagaan francais bagi menambah pendapatan masing-masing.

Terbaru, agensi pembiaya perniagaan francais di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu bercadang memperkenalkan konsep perniagaan francais baru secara bergerak itu membabitkan penggunaan van atau trak khas diubah suai mengikut keperluan.
Ikuti temubual wartawan Bisnes Metro, Helmy Abd Rahman dengan Pengarah Urusan PNS, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, mengenai kaedah dan rasional di sebalik pengenalan konsep perniagaan itu.

BOLEH saudara ulas lebih lanjut mengenai konsep perniagaan mudah alih ini?
Konsep perniagaan francais baru secara bergerak ini membabitkan penggunaan van atau trak khas diubah suai mengikut keperluan, sekali gus tidak memerlukan peniaga menyewa kedai.

Menerusi konsep ini, peniaga tidak lagi perlu mengeluarkan pelaburan tinggi untuk mendapatkan premis perniagaan. Bagi peniaga mereka tidak perlu menyewa kedai, sebaliknya hanya membawa van atau trak khas ke mana-mana kawasan lapang atau parkir disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan memulakan perniagaan masing-masing.

Bagi pihak PBT pula, tidak perlu mengeluarkan pelaburan membina infrastruktur baru termasuk kerusi dan meja.

Rancangan memperkenalkan program ini mewujudkan kaedah kreatif supaya francaisi dapat menjalankan perniagaan.

Dengan kata lain, ia membentuk situasi menang-menang kepada peniaga dan PBT.

Bagaimana idea untuk melaksanakan konsep perniagaan sebegini timbul dan bila ia akan diperkenalkan?

Konsep perniagaan seperti ini sudah lama diperkenalkan di negara maju dan ia mampu meminimumkan perbelanjaan serta lebih efisien. Idea mewujudkan perniagaan ini timbul berikutan kejayaan di luar negara, khususnya di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).

Beberapa kota di negara itu, seperti Washington DC, peniaganya langsung tidak memerlukan premis perniagaan, sebaliknya menggunakan van atau trak khas bagi menjual cenderahati atau makanan segera.

Perniagaan pula lebih tersusun kerana kenderaan diletakkan di kawasan disediakan bukan pada waktu puncak, malah peniaga mempelbagaikan produk jualan masing-masing.

Pada masa ini, PNS sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak antaranya pembuat kenderaan khas terbabit dan pihak yang berminat memulakan konsep perniagaan baru ini.

Jenis perniagaan pula boleh dipelbagaikan, sama ada makanan ringan, cenderahati atau baju.

Kami akan mula mempromosikan konsep perniagaan ini bermula sekarang. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada pengeluaran lesen perniagaan bergerak oleh PBT.

Selain konsep perniagaan baru berkenaan, boleh ceritakan mengenai pembiayaan bagi membantu bakal usahawan yang kurang modal menceburi bidang perniagaan francais secara kecil-kecilan?

Ketika ini, PNS masih mempunyai baki dana berjumlah RM5 juta untuk diagihkan sebagai pembiayaan untuk membantu bakal peniaga menceburi bidang perniagaan francais kecil-kecilan.

Dana ini sebahagian daripada peruntukan RM8 juta yang disediakan kerajaan di bawah Skim Pembiayaan Kecil Francais (SPKF) yang diperkenalkan pada Februari tahun lalu.

Ia antara sokongan yang diberikan bagi membantu lebih ramai usahawan kecil menceburi bidang francais untuk menjalankan perniagaan lebih sistematik di samping menjana pendapatan tambahan.

Dana SPKF ini bertujuan memberikan bantuan kewangan mikro kepada francaisi tempatan yang berpendapatan kecil dan sederhana dengan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000.

Setakat ini, PNS sudah meluluskan pembiayaan berjumlah RM3.2 juta kepada 144 francaisi daripada 256 permohonan yang diterima dalam pelbagai bidang perniagaan.

No comments: