Thursday, September 6, 2012

Terengganu luas francais T'Kafe ke Perth minggu depan

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/terengganu-luas-francais-t-kafe-ke-perth-minggu-depan-1.81841

Published: September 06, 2012

KUALA TERENGGANU- Kerajaan negeri Terengganu di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan melancarkan rangkaian restoran T'Kafe yang pertama di luar negara iaitu di Perth, Australia pada Isnin depan.
  
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata konsep perniagaan dibangunkan YPU itu merupakan francais T'Kafe yang ketujuh ditubuhkan kerajaan negeri setakat ini.
  
"Yang luar negara (T'Kafe) ini merupakan yang pertama manakala enam lagi semuanya di negeri Terengganu," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka YPU di sini hari ini.
  
Beliau berkata kerajaan negeri sedang mempertimbang berkemungkinan membuka sebuah lagi T'Kafe di luar negara tahun depan iaitu di Los Angeles, Amerika Syarikat.
  
"Kita juga sedang melihat potensi perniagaan di Kota London (England) untuk memperluaskan lagi rangkaian T'Kafe," katanya.

Mohamed berkata kerajaan negeri amat berminat untuk membuka T'Kafe di Kota London kerana di sana terdapat ramai pelajar dan rakyat Malaysia yang pastinya bakal menjadi tumpuan kelak.
  
Beliau berkata T'Kafe yang akan dibuka di negara Kangaroo itu dikendalikan oleh pasangan suami isteri rakyat Terengganu yang menetap di sana.
  
Katanya kedua-dua pasangan ahli perniagaan itu, Yeop Osman Jumaah, 50, dan isterinya, Maznah Salleh, 40, yang sedang membuat PhD, mengubah suai sebuah bangunan di Kota Perth untuk dijadikan restoran T'Kafe yang menjual juadah Malaysia dan makanan barat.
  
"Kalau dia jual makanan Malaysia sahaja, mungkin tidak mendapat sambutan, sebab itu dia juga menjual makanan Western bagi menarik kedatangan orang tempatan," katanya.
  
Beliau berkata kerajaan negeri kini komited untuk mengembangkan makanan Malaysia khasnya makanan Terengganu supaya dikenali di serata dunia seperti Thailand yang terkenal dengan Tom Yam.
  
Bagaimanapun, katanya memerlukan masa dan usaha yang berterusan diperlukan daripada usahawan supaya matlamat dan hasrat kerajaan itu tercapai suatu hari nanti. - Bernama

No comments: