Friday, June 22, 2012

Bantu India tembusi pasaran ASEAN

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BantuIndiatembusipasaranASEAN/Article

Published: on 22 Jun 2012
Oleh Norfatimah Ahmad

NAJIB, Mustapa dan Mohamed Al Amin (dua dari kiri) mendengar penerangan  Ketua Pegawai Eksekutif Return 2 Green Sdn Bhd, P Ramaness mengenai produk   daripada bahan tumbuhan terbuang  di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, semalam.  
NAJIB, Mustapa dan Mohamed Al Amin (dua dari kiri) 
mendengar penerangan Ketua Pegawai Eksekutif Return 2 
Green Sdn Bhd, P Ramaness mengenai produk daripada 
bahan tumbuhan terbuang di Pusat Persidangan 
Kuala Lumpur, semalam.

Malaysia tawar jadi pintu masuk usahawan kembangkan perniagaan

DATUK Seri Najib Razak berkata, Malaysia bersedia memudahkan kemasukan usahawan India ke pasaran ASEAN dengan menjadikan negara ini sebagai pintu masuk mereka ke rantau ini. Merujuk Persidangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ASEAN-India 2012 sebagai landasan terbaik untuk usahawan tempatan memahami peluang dan cabaran perniagaan di India, Perdana Menteri berkata, ia mampu meningkatkan kerjasama dalam sektor ekonomi antara semua pihak terbabit.

“Sejak sedekad lalu, hubungan perniagaan antara ASEAN dan India menunjukkan pertumbuhan dan perkembangan besar,” katanya selepas melancarkan Pameran Inovasi PKS SMIDEX 2012, Persidangan PKS ASEAN-India dan Minggu PKS 2012 di Pusat Persidangan Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi SME Corporation Malaysia, Datuk Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid; Setiausaha Kementerian Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana India, RK Mathur serta Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Vijay Keshav Gokhale.

Perdana Menteri berkata, Perjanjian Perdagangan Barangan (TIG) Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA) yang berkuat kuasa 1 Januari 2010 adalah faktor utama yang akan memudahkan wujudnya pasaran terbuka di rantau ini dengan jumlah penduduk kira-kira 1.8 bilion.

Beliau berkata, mengikut perangkaan Jabatan Dasar Perindustrian dan Promosi India, Malaysia adalah pelabur asing ke-27 terbesar negara itu, dengan aliran masuk pelaburan domestik asing keseluruhan sebanyak AS$298.8 juta dalam tempoh April 2000 sehingga Jun tahun lalu.
“Jika mengambil kira pelaburan melalui laluan negara ketiga, pelaburan keseluruhan Malaysia di India sehingga ini mencecah lebih AS$6 bilion,” katanya.

Katanya, pelaburan India di Malaysia pula kini berjumlah RM98 juta dengan 77 syarikat, termasuk 70 syarikat usaha sama India beroperasi di negara ini.

Mengenai PKS tempatan, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sudah merangka hala tuju dan perkembangan PKS negara ini dengan memberi fokus untuk mewujudkan ekosistem untuk meningkatkan pertumbuhan sektor itu melalui peningkatan produktiviti dan inovasi.

“Salah satu matlamat strategik menerusi pelan ini adalah untuk menggalakkan inovasi dan mengguna pakai teknologi PKS,” katanya.

No comments: