Published: on 04 Jun 2012
CONNIE S MONICAL
PENGELUAR susu tepung milik Bumiputera sepenuhnya, Ebunda Sdn Bhd menerusi jenama Ilham, berhasrat menembusi pasaran China dan Dubai menjelang akhir tahun ini.
Pengurus Pemasarannya, Mohd Nakha’e Hashim berkata, pasaran itu adalah dua lokasi baru ke arah meluaskan jaringan perniagaan setelah mendapat sambutan menggalakkan dalam dan luar negara.
“Sebelum ini, susu tepung Ilham berada di luar negara seperti Brunei, Singapura dan Iran sejak 2011. Bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa kelak, kami bakal membuka kilang sendiri di Kajang yang dijangka beroperasi menjelang September atau Oktober tahun ini," katanya yang beroperasi sejak 2010.
Menurutnya, apabila kilang baru itu siap, dan beroperasi kelak, Ebunda akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengeksport produk ke luar negara. Katanya, Ebunda turut menyasarkan peningkatan jualan bulanan RM300,000 sebulan, sekali gus mampu menjana pendapatan RM3 juta sepanjang 2012.
Beliau berkata, selain operasi di luar negara, Ilham juga boleh didapati secara belian atas talian, melalui 30 pengedar sah, klinik dan farmasi serta Halal Mart seluruh negara.
Susu Ilham dirumus untuk bayi berusia satu tahun hingga tiga tahun dan empat tahun ke atas, yang disediakan dalam perisa asli, vanila dan coklat, dijual pada harga RM48.90 bagi 650 gram sekotak.
No comments:
Post a Comment