Wednesday, June 27, 2012

Perluas rangkaian Ayamazz Roti Impit

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PerluasrangkaianAyamazzRotiImpit/Article/index_html

Published: on 27 Jun 2012
Oleh Rosyahaida Abdullah
rosyahaida@hmetro.com.my

AYAMAZZ Sdn Bhd (Ayamazz), syarikat di bawah kumpulan KFC Holdings (Malaysia) Berhad (KFCH) yakin operasi perniagaan Ayamazz Roti Impit kendaliannya dapat diperluaskan menerusi sasaran pembukaan 54 lagi cawangan baru menjelang Februari depan.

Pengarahnya, Hashim Kamil, berkata pihaknya kini bergerak lebih proaktif untuk merealisasikan hasrat itu termasuk mempelbagaikan produk sedia ada di samping konsep perniagaan yang tidak terhad dalam bentuk kios sahaja.

Katanya, ketika ini, 14 cawangan sudah dibuka meliputi konsep perniagaan berbentuk kios dan kereta sorong, tidak termasuk 30 lagi yang masih dalam proses penempatan.

“Menjelang Ogos ini kami menyasarkan memiliki sekurang-kurangnya 44 cawangan dan usaha penambahbaikan perlu dilakukan dengan komited serta berterusan. Dalam tempoh terdekat, konsep perniagaan ‘on the run’ atau mobile akan diperkenalkan dan ia boleh menggunakan van atau lori.

“Malah, menu sedia ada akan ditambah supaya lebih pelbagai dan digemari pengguna. Ketika ini, penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedang dilaksanakan terhadap menu terbaru ‘prata set’ yang dijangka diperkenalkan dalam tempoh sebulan,” katanya ketika ditemui Bisnes Metro.

Hashim berkata, Ayamazz Roti Impit yang memulakan pasarannya di kampus pada Oktober 2009 itu diyakini mampu menarik usahawan untuk menjalankan perniagaan terbabit yang hanya bermodalkan serendah RM20,000.


Katanya, bergantung kepada konsep perniagaan yang dipilih, pihaknya menyasarkan pendapatan RM15,000 bagi setiap cawangan khususnya perniagaan berkonsepkan kedai dengan margin keuntungan 30 peratus. “Kita sentiasa mengalu-alukan usahawan baru dengan mengutamakan rakyat Malaysia berumur 40 tahun dan ke bawah untuk menjalankan perniagaan ini. Bagi perniagaan berkonsepkan kereta sorong misalnya, modal yang diperlukan cuma kira-kira RM54,000, manakala motosikal hanya perlukan modal RM20,000 saja.

“Bagi yang berminat menjadi francaisi Ayamazz Roti Impit, kita boleh membantu dari segi permohonan pinjaman dengan bank, malah kami akan bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) untuk menyediakan kemudahan pinjaman,” katanya.

No comments: