Monday, April 15, 2013

TEKUN sasar kutip RM360j

Kuala Lumpur: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) komited memperoleh semula pembiayaannya sebanyak RM360 juta tahun ini supaya dapat disalurkan semula kepada usahawan yang memohon pinjaman.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TEKUNsasarkutipRM360j/Article/index_html
Published: April 15, 2013

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, tahun lalu TEKUN berjaya mengutip RM270 juta bayaran semula pembiayaan dan pihaknya yakin jumlah itu akan meningkat berikutan semakin ramai peminjam mula sedar mengenai tanggungjawab mereka.

Katanya, malah bagi peminjam yang ingin meningkatkan jumlah pinjaman sehingga RM100,000, pihaknya hanya akan memberi keutamaan kepada mereka yang memiliki rekod bayaran semula cemerlang.

“Jumlah pinjaman yang diberikan adalah dari RM1,000 hingga RM50,000 dan paling penting sekarang kami melihat terdapat peningkatan dari segi pembayaran semula peminjam terutama selepas TEKUN menawarkan rebat untuk mereka yang bayar semula dan turut menawarkan pinjaman balik dengan nilai lebih besar.

“Perkara bayaran semula pinjaman ini sangat penting kerana jika peminjam gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, ia akan menyukarkan kami menyalurkan pinjaman kepada usahawan lain yang memohon dan didapati layak,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, selain menyalurkan pinjaman daripada dana kerajaan yang diterima, TEKUN juga memberi pinjaman kepada pemohon melalui kutipan bayaran balik oleh peminjam sedia ada.

Abdul Rahim berkata, sejak 1998 hingga kini pihaknya sudah membantu kira-kira 250,000 peniaga kecil dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.46 bilion.

Beliau berkata, sekarang terdapat lebih 8,000 permohonan yang sedang menunggu untuk mendapatkan pinjaman dan pihaknya sentiasa berusaha bagi memastikan ramai pemohon dapat dibantu.

“TEKUN mempunyai peningkatan dari segi pemohon dan tahun lalu kita hanya dapat menyalurkan pinjaman kepada 35,903 usahawan. Disebabkan itu, kami melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran bayaran balik pinjaman, termasuk memberi insentif untuk kakitangan yang berjaya kutip paling banyak bayaran pinjaman,” katanya.

No comments: