Thursday, March 7, 2013

Mekanisme tangani isu antilambakan

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang merangka mekanisme untuk menangani masalah anti lambakan yang mengakibatkan situasi tidak adil dalam kegiatan perdagangan. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Mekanismetanganiisuantilambakan/Article
Published: March 07, 2013

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata mekanisme itu bertujuan melindungi pengeksport tempatan khususnya daripada kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada berdepan masalah sedemikian semasa berurus niaga.
"Kementerian telah memerhatikan masalah ini sejak beberapa lama dan menimbang keperluan membentuk mekanisme itu setahun lalu.

"Kami bercadang mewujudkan badan khusus untuk menangani isu itu sebelum akhir tahun," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin perwakilan asing dan majlis perniagaan di Kuala Lumpur, semalam. Yang turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Jacob Dungau Sagan.

Mustapa berkata, buat masa ini kementeriannya mempunyai unit khas untuk menangani aduan yang diterima syarikat tempatan berhubung masalah perdagangan tidak adil.

Katanya, unit berkenaan menangani masalah berkaitan seperti kesilapan pembentangan serta produk yang gagal dihantar ke lokasi eksport.

"Buat masa ini, unit itu masih mampu menangani masalah sedemikian," katanya.
Mustapa berkata, semasa pertemuannya dengan pemimpin perwakilan asing dan majlis perniagaan semalam, beliau turut menerima maklum balas berhubung perkara serupa membabitkan isu seperti penipuan dan kegagalan meneruskan kontrak.

Maklum balas sedemikian, katanya menguatkan lagi hasrat kementerian untuk merangka mekanisme yang dapat mengukuhkan lagi persekitaran perdagangan membabitkan Malaysia dengan pasaran asing.

Sementara itu, Mustapa berkata, pertemuannya dengan pemimpin perwakilan asing dan majlis perniagaan antarabangsa itu bertujuan mengeratkan hubungan antara kementeriannya dengan komuniti diplomatik serta perdagangan.

Pertemuan tahunan kali keempat itu juga, katanya bermatlamat berkongsi maklumat terkini di dalam pelaburan dan perdagangan.

Dalam pertemuan itu Mustapa menegaskan bahawa kementeriannya akan memberi perhatian kepada tiga kawasan perdagangan pada tahun ini iaitu rantau Afrika, Amerika Latin serta Eropah Timur.

Ketiga-tiga rantau berkenaan ketika ini hanya menyumbang sebahagian kecil kepada perangkaan perdagangan negara, katanya.

No comments: