Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Published: on 18 Jun 2012
KUALA LUMPUR 17 Jun - Persatuan Francais Malaysia (MFA) menjangkakan
jumlah ahlinya meningkat 25 peratus tahun ini hasil transformasi
industri francais yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak Januari lalu.
Pengerusinya, Abdul Malik Abdullah berkata, untuk tempoh enam bulan
pertama, peningkatan pendaftaran ahli baru adalah sebanyak 12 peratus
dan dijangka lebih baik pada separuh kedua tahun ini.
"Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional 2012-2016 yang
diperkenalkan sejak 10 Januari lalu telah membuka lembaran baru industri
francais tempatan dengan menawarkan lebih banyak insentif dan peluang
berkembang sehingga ke luar negara.
"Fokus sistem francais juga sudah berkembang. Jika dahulu hanya
perniagaan bermodalkan RM300,000 ke atas memonopoli industri ini, kini
dengan bermodalkan kurang daripada RM50,000, usahawan boleh menyertai
sistem ini," katanya kepada Utusan Malaysia.
MFA ketika ini memiliki 340 ahli berdaftar dan telah berjaya membawa
lebih 46 buah syarikat tempatan untuk mengembangkan operasi mereka di 50
buah negara.
Abdul Malik berkata, usahawan francais digalakkan untuk menyertai MFA
bagi menikmati pelbagai manfaat dan maklumat yang lebih jelas tentang
industri ini.
Katanya, MFA menyediakan pelbagai bantuan seperti kursus asas
francais, pameran di dalam dan luar negara, perkongsian pengalaman
antara ahli dan bantuan mengakses pelbagai insentif yang ditawarkan
kerajaan.
"Sebagai contoh, perniagaan ahli MFA akan dipromosikan di laman
sesawang rasmi persatuan, ruang pameran percuma di dalam dan luar negara
serta diskaun sehingga 50 peratus untuk penginapan sepanjang pameran
berlangsung," jelasnya.
Setiap tahun, MFA akan melakukan enam hingga 10 pameran francais di
luar negara bagi membantu francaisor memperkenalkan produk mereka.
Sementara itu, ditanya mengenai cabaran industri francais tempatan,
beliau berkata, walaupun mencatatkan peningkatan yang menggalakkan,
namun secara keseluruhan angkanya masih kecil berikutan masih ramai yang
masih was-was dengan keberkesanan sistem ini.
"Menjadi tanggungjawab MFA untuk mengatasi masalah ini dan kami telah
mengadakan sesi penerangan di kawasan luar bandar dengan lebih aktif
bagi menarik ramai usahawan baru terutama Bumiputera.
"Kewangan adalah masalah utama usahawan kecil dan sebahagian besar
mereka masih tidak tahu atau takut memohon pembiayaan yang disediakan
kerajaan walaupun kadar keuntungan yang dikenakan hanya tiga peratus.
"Daripada RM8 juta dana bantuan yang disediakan, hanya RM3 juta
berjaya diagihkan setakat ini. Saya menyeru usahawan untuk tampil
mencuba dan jika ada sebarang pertanyaan boleh berjumpa dengan MFA,"
jelasnya.
No comments:
Post a Comment