Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TujuheksposasarjualanRM100juta/Article
Published: on 09 Jun 2012
Oleh Mohd Zaky Zainuddin
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
menyasarkan jualan sehingga RM100 juta sepanjang penganjuran tujuh siri
Ekspo Beli Barangan Malaysia 2012 yang bermula semalam.
Timbalan Ketua Setiausahanya, Datin Mahani Tan Abdullah, berkata
sasaran hampir sekali ganda berbanding jualan tahun lalu itu susulan
penyertaan syarikat tempatan dengan pelbagai rangkaian produk selain
pembabitan syarikat multinasional yang meninjau peluang padanan
perniagaan menerusi ekspo itu.
“Ekspo kali ini berbeza kerana ada pembabitan syarikat multinasional
dan dewan perniagaan yang turut serta bagi mencari padanan perniagaan
dengan syarikat tempatan yang berskala kecil.
“Tahun lalu, ekspo yang sama hanya membabitkan beberapa kedutaan
luar negara di Malaysia yang juga bertindak mencari syarikat berpotensi
untuk bekerjasama,” katanya kepada Berita Harian selepas perasmian
Ekspo Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan, di Kuala Lumpur,
semalam.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya, Datuk
Rohani Abdul Karim serta Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin
Kassim.
Ekspo Beli Barangan Malaysia pertama tahun ini yang berlangsung di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula semalam hingga Ahad ini itu,
disertai hampir 200 pempamer di 70 tapak pameran dengan tema ‘Inovasi
Buatan 1Malaysia Bertaraf Dunia’.
Enam lagi ekspo sama akan diadakan di Terengganu, Johor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Perak.
Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya berkata, penganjuran
ekspo itu bertujuan mengetengahkan produk inovatif dalam bidang
permotoran, teknologi hijau, aplikasi kenderaan, pakaian, makanan,
hiburan, penerbitan, pendidikan dan perkhidmatan.
“Ekspo ini memberi ruang dan peluang kepada peserta industri
tempatan menjalankan perniagaan serta mendapatkan pasaran baru sama ada
di peringkat domestik atau global,” katanya.
Mengenai kepentingan penggunaan logo buatan Malaysia bagi produk
tempatan, beliau berkata, logo yang bertindak sebagai pengesahan negara
pengeluar adalah kriteria utama yang dinilai sebelum sesuatu produk
memasuki pasaran negara lain.
Di negara ASEAN, katanya, pengesahan penandaan logo itu dapat
memberi insentif dari segi pengecualian tarif cukai di bawah Perjanjian
Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) oleh negara pengimport.
No comments:
Post a Comment