Wednesday, April 4, 2012

Maxis sedia khidmat PKS

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MaxissediakhidmatPKS/Article

Published: on 04 April 2012
Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my

MODEL menunjukkan cara usahawan PKS menggunakan Maxis melalui internet.
MODEL menunjukkan cara usahawan 
PKS menggunakan Maxis melalui internet.

Tiga produk perniagaan dipakej ikut keperluan usahawan

MAXIS Bhd melangkah setapak ke depan dalam penyediaan perkhidmatan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila ia melancarkan penyelesaian digital lengkap bagi pengurusan perniagaan runcit yang dikenali sebagai ‘Built for SME - Retail’.
Menerusinya, Maxis memperkenalkan tiga produk penyelesaian perniagaan iaitu Software-as-a-Service on Maxis Cloud, Maxis Business Comunity Call dan Biz Fibre with CCTV yang dipakej mengikut keperluan pengusaha PKS.
Ketua Pegawai Operasi Bersamanya, Mark Dioguardi, berkata pakej itu adalah gabungan akses rangkaian perkhidmatan mudah alih Maxis dengan rangkaian talian tetapnya yang menggunakan kabel gentian optik.

Beliau berkata, pelanggan boleh memanfaatkan akses rangkaian itu untuk menggunakan pelbagai produk digital dan perkhidmatan berkualiti Maxis bagi meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan perniagaan dan data pelanggan, serta membantu mengembangkan rangkaian runcit mereka.

“Maxis kini menyediakan penyelesaian perniagaan bersepadu kepada PKS meliputi akses talian tetap atau mudah alih, jalur lebar mudah alih, kandungan interaktif, perkhidmatan aplikasi, sambungan antara mesin dan perkhidmatan komputer awan. Semuanya kami satukan dalam satu pakej lengkap dengan beberapa perkhidmatan tambahan.

“Built for SME - Retail ini adalah antara produk paling inovatif dalam penyelesaian perniagaan Maxis dan kami yakin pelanggan akan menikmati kelancaran serta penjimatan operasi bagi menjana pertumbuhan perniagaan yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas pelancaran penyelesaian baru di Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Komersial dan Perniagaan PKS, Perkhidmatan Perniagaan Maxis, Kenneth Lee berkata, kos bagi setiap pakej bakal ditentukan mengikut jenis perniagaan dan keperluan pelanggan.

“Kos berbeza mengikut perniagaan pelanggan. Bagi keperluan paling asas, ia ditawarkan bermula daripada serendah RM1,000. Apa yang lebih menarik, pengusaha yang mempunyai rangkaian yang banyak hanya perlu meletakkan satu deposit saja untuk semua rangkaian runcitnya,” katanya.

Biz Fibre with CCTV adalah perkhidmatan aliran video secara langsung yang ditawarkan bersama-sama Maxis Business Fibre Internet bagi membolehkan pengusaha PKS memantau aktiviti di permis menggunakan CCTV.

Software-as-a-Service on Maxis Cloud, pula membantu pengusaha PKS mengemas kini maklumat perniagaan secara langsung termasuk menyelesaikan masalah serta aliran tunai, mengimbas transaksi jualan di mesin tunai, menjejaki inventori dan memantau akaun perniagaan menggunakan perkhidmatan komputer awan, Maxis Cloud.

Manakala, Maxis Business Comunity Call pula adalah perkhidmatan panggilan talian tetap korporat percuma yang ditambah baik daripada perkhidmatan sebelum ini, iaitu meliputi panggilan antara talian mudah alih korporat, pelanggan perniagaan sehingga ke talian tetap dalam rangkaian syarikat milik pengusaha.

No comments: