Tuesday, April 10, 2012

Program HSBC YEC tawar hadiah lumayan

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ProgramHSBCYECtawarhadiahlumayan/Article/index_html

Published: on 10 April 2012

DALAM usaha menggalakkan golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) memiliki semangat keusahawanan, HSBC Bank Malaysia Berhad memperkenalkan program HSBC Young Entrepreneur Challenge (HSBC YEC) yang menawarkan hadiah lumayan iaitu program inkubator Incu-Tech/Inc-Bio di Hong Kong.
Ketua Kumpulan Komunikasi dan Korporatnya, Marlene Kaur berkata, program itu adalah usaha HSBC dalam menggalakkan lebih ramai golongan pelajar menceburi bidang keusahawanan.

“Program ini sudah masuk tahun ke-11 dan kami mengharapkan penyertaan lebih ramai pelajar. Malah, tahun ini juga kami bekerjasama dengan SIFE Malaysia yang mempunyai rangkaian pelajar tersendiri,” katanya.
Menurutnya, tahun ini, pemenang akan menerima dana RM10,000 dan pasukan yang memenangi anugerah emas akan bertanding dengan pemenang dari lima negara serantau.

“Pada peringkat itu nanti, pemenang ditawarkan hadiah HK$100,000 termasuk peluang memenangi Anugerah Asia Technopreneur yang merangkumi wang tunai HK$20,000 dan laluan pintas menyertai program inkubator Incu-Tech/Inc-Bio bernilai HK$1.4 juta,” katanya.

Menurutnya, program itu diadakan bertujuan membentuk golongan usahawan muda menghasilkan modul dan idea perniagaan yang berkualiti.

“Kami turut memberi bantuan kepada semua peserta untuk menghasilkan projek berkualiti dengan bantuan daripada rakan korporat lain,” katanya sambil menambah tarikh tutup untuk penyerahan kertas kerja adalah pada 30 April ini.

No comments: