Thursday, April 19, 2012

MRT: Tawar peluang niaga

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_08.htm

Published: on 19 April 2012

KUALA LUMPUR 18 April - Projek pembangunan Transit Aliran Massa (MRT) fasa pertama dijangka menawarkan peluang perniagaan sehingga RM1 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Anggaran yang dibuat oleh Kumpulan Industri-Kerajaan di dalam Teknologi Tinggi (MIGHT) itu berdasarkan kepada beberapa perniagaan yang telah dikenalpasti daripada kira-kira 40 projek yang ditawarkan itu.

Ia merupakan sebahagian daripada program 'offset' (mengimbangi) yang dijalankan terhadap mana-mana aktiviti melibatkan perbelanjaan kerajaan yang melebihi RM50 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Mohd. Yusoff Sulaiman berkata, program 'offset' tersebut berfungsi apabila mana-mana syarikat asing yang mahu terlibat dalam pembangunan MRT bersedia menawarkan kepakaran masing-masing kepada PKS tempatan.

"Ia melibatkan pemindahan dan perkongsian teknologi, kandungan tempatan dalam projek yang dilaksanakan serta peluang memasuki pasaran baharu," katanya kepada pemberita semasa program Kesedaran Offset dikalangan PKS tempatan di dalam MRT, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi SME Corp. Malaysia, Datuk Dr. Mohamed Al Amin Abd. Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corporation Malaysia, Datuk Hafsah Hashim.

Program yang dianjurkan bersama MRT Corp. dan MIGHT itu bertujuan mewujudkan perhubungan perniagaan di kalangan PKS tempatan dengan syarikat gergasi dalam industri pengangkutan.

No comments: