Monday, April 23, 2012

Pengusaha francais perlu pelbagaikan bidang

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Published: on 23 April 2012

KUALA LUMPUR 22 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa semua pengusaha francais baharu tidak terlalu menumpukan bidang perniagaan berasaskan makanan dan minuman.

Ini kerana bidang perniagaan francais adalah amat luas terutamanya dalam bidang perkhidmatan.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini sebanyak 34 peratus industri francais didominasi oleh perniagaan makanan dan minuman.

Katanya, masalah ini berlaku berikutan kurangnya kesedaran di kalangan pengusaha industri.
Malah, katanya, para francaisi juga didapati terlalu taksub dalam bidang perniagaan makanan dan minuman yang didapati lebih berpotensi untuk mengaut keuntungan.
"Pada tahun ini, kami mahu memberi tumpuan kepada perkembangan bidang-bidang perniagaan yang lain bagi menjadikan industri francais lebih berkembang,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Kini, Malaysia mempunyai 605 syarikat francaisor iaitu 416 buah syarikat tempatan manakala bakinya merupakan syarikat francais luar negara.

Ia tumbuh sebanyak 65 peratus jika dibandingkan bilangan francaisor pada tahun 2008 dengan 2011.
Ketika ditanya mengenai langkah kerajaan dalam menangani masalah dominasi bidang francais, Ismail Sabri menambah, pihaknya telah mengambil langkah dengan memberi keutamaan kepada pengusaha francais bukan berasaskan makanan dan minuman.

Katanya, keutamaan itu termasuk dalam pemberian lesen francais.
Tambah Ismail Sabri, pihaknya juga dalam proses mengubah pemikiran masyarakat yang menganggap bahawa industri francais melibatkan pelaburan besar.

Katanya, pemikiran sebegitu perlu diperbetulkan segera kerana terdapat banyak skim francais yang hanya menggunakan modal kecil.

"Terdapat skim francais yang hanya memerlukan modal sekitar RM15,000 sahaja dan bantuan kewangan akan diberikan kepada mereka yang layak,'' katanya.

Jelas beliau, kerajaan melalui Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) turut menawarkan pembiayaan mikro kepada pengusaha francais yang memerlukan modal di bawah RM50,000.

No comments: