Friday, April 20, 2012

Matrade galak usahawan sertai Caexpo

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm

Published: on 20 April 2012

KUALA TERENGGANU 19 April - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggalakkan lebih ramai pengeksport atau pengusaha tempatan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang, menyertai Ekspo China-Asean (Caexpo) 2012 di China, September depan.

Pengarah Bahagian Galakan Perkhidmatan dan Perdagangan Matrade, Ong Yew Chee berkata, pada tahun lepas sebanyak 130 syarikat Malaysia menyertai Caexpo, yang menghasilkan jualan melebihi RM201 juta.
"Kita harap tahun ini kita akan dapat memperbaiki dan dapat menambahkan lagi eksport negara," katanya kepada pemberita selepas seminar Caexpo 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata, China ialah rakan dagang terbesar Malaysia di dunia, dan ekspo ini akan memberi pendedahan kepada syarikat-syarikat tempatan di peringkat global.

Katanya, pada masa yang sama, pengeksport dan pengusaha tempatan boleh menonjolkan produk-produk dari Pantai Timur seperti kraftangan, makanan dan sebagainya di Caexpo.
Yew Chee berkata, semua wakil atau peniaga dari seluruh China dan negara ASEAN akan mengambil bahagian pada Caexpo kali ini.

"Sejak diperkenalkan pada 2004, Malaysia mengambil bahagian yang begitu aktif dalam Caexpo," katanya.
Untuk mendapat maklumat lebih lanjut mengenai Caexpo, usahawan berminat boleh melayari www.matrade.gov.my atau menghubungi Pengarah Matrade Kawasan Timur, Hasziah Mohd Yazid 012-276 0658.

Seramai 100 pengusaha dan peniaga dari Kelantan, Pahang dan Terengganu menghadiri seminar sehari itu. - BERNAMA

No comments: