Friday, April 20, 2012

Miti sasar 100 padanan perniagaan

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mitisasar100padananperniagaan/Article/index_html

Published: on 20 April 2012

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (Miti) menyasarkan lebih 100 padanan perniagaan dapat dilaksanakan sepanjang Forum Pelaburan Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDB) pada 9 dan 11 Mac ini di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.

Forum ini membabitkan ahli dari negara IDB dan ia dijangka dapat memacu ke arah peningkatan sehingga 20 peratus pembabitan perdagangan antara negara bernaung di bawah Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) menjelang 2025 berbanding hanya 14 peratus sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, forum itu bakal disertai 500 peserta dari pelbagai negara anggota IDB dan 300 penyertaan syarikat Malaysia.
Katanya, antara aktiviti yang dapat dilihat dalam tempoh tiga hari itu ialah pameran produk, taklimat dan penerangan jurucakap sektor awam serta swasta.

“Melalui penganjuran forum ini, syarikat swasta tempatan dapat menjalin hubungan perniagaan dengan syarikat dari negara anggota IDB. Selain itu, ia turut memberi peluang kepada syarikat berkenaan untuk membawa perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Forum ini dapat memperkasakan ekonomi di kalangan negara OIC kerana ia membabitkan jaringan perniagaan antarabangsa. Mereka juga mendapat pendedahan mengenai dunia perniagaan lebih luas menerusi penerangan daripada panel berpengalaman,” katanya pada majlis pra pelancaran Forum Pelaburan Bank Pembangunan Islam 2012 di Kuala Lumpur, kelmarin.

No comments: