Friday, April 13, 2012

Sosej Dubai

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SosejDubai/Article/index_html

Published: on 13 April 2012
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

RAK Meat Products Sdn Bhd (Rak), syarikat pengedar tunggal makanan berasaskan daging di Malaysia menyasarkan jualan sehingga RM1 juta menjelang akhir tahun ini bagi produk yang diimport terus dari Iran berikutan permintaan tinggi masyarakat tempatan.

Rak ialah jenama produk makanan berasal dari Dubai dan diuruskan pengusaha Bumiputera bagi pasaran Malaysia menjual pelbagai segmen makanan berasaskan daging seperti sosej, felasel, salami, burger, koktel daging lembu dan ayam serta daging ayam belanda.

Pengurus Pemasarannya, Hafriz Najiz Nasruddin berkata, Rak di Malaysia mempunyai sebuah restoran yang turut beroperasi sebagai hab pengedaran makanan sejuk beku mampu mencatat jualan sehingga RM40,000 dalam tempoh kurang dua bulan.
Katanya, keunikan produk Rak ialah saiznya yang besar dan boleh dijual dalam pelbagai bentuk diinginkan pembeli. Selain itu, sosej diedarkan juga berbentuk rantaian yang boleh dipotong mengikut kehendak pelanggan.

“Dalam kurang dua bulan ini kami mendapat permintaan untuk diedarkan ke negara seperti China, Hong Kong dan Perancis. Bagaimanapun, ia masih di peringkat perbincangan dengan peniaga di sana.

“Bagi tahun ini syarikat ingin memfokuskan pasaran di Malaysia terlebih dulu sebelum memasuki negara yang paling hampir dengan kami iaitu Singapura,” katanya.

Katanya, syarikatnya berhasrat membuka sebuah lagi restoran yang turut beroperasi sebagai hab pengedaran produk Rak di Serdang, Selangor dalam dua tahun akan datang.

“Produk ini berpotensi besar bagi pasaran di Malaysia kerana belum ada jenama Rak di sini berbanding di Timur Tengah. dan ia cukup terkenal di sana.

“Kami pengedar tunggal bagi lapan pasar mini milik peniaga Arab di Malaysia dan dijangka meningkat dalam setahun,” katanya yang boleh dihubungi di rak@rakmp.com.

No comments: