Monday, April 16, 2012

Jana RM60b

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JanaRM60b/Article/index_html

Published: on 16 April 2012
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

INDUSTRI teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) termasuk telekomunikasi negara dijangka menjana perolehan kira-kira RM60 bilion tahun ini, meningkat antara lapan hingga 10 peratus berbanding RM52.3 bilion yang dicatatkan pada 2011.

Presiden Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Shaifubahrim Mohd Salleh berkata, peningkatan itu didorong oleh beberapa faktor terutamanya pertumbuhan sektor perkhidmatan mandiri dan penyumberan luar.

“Kebelakangan ini banyak peralihan kepada penggunaan teknologi perkhidmatan mandiri. Perkhidmatan yang dulu dikendalikan tenaga manusia beralih kepada automasi dan bagi penyumberan luar pula, semakin banyak syarikat gergasi antarabangsa melabur di negara ini untuk membuka pusat panggilan.
“Selain itu, inisiatif Digital Malaysia yang diumumkan kerajaan sebahagian besarnya membabitkan sektor ICT. Penggunaan e-dagang juga dijangkakan meningkat antara 15 dan 20 peratus selain penembusan jalur lebar kepada lebih besar tahun ini,” katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan turut menyaksikan pertumbuhan apabila banyak syarikat kecil mula berminat melabur dalam ICT yang mampu menjana perolehan berlipat kali ganda.

“Sebelum ini, syarikat PKS di Malaysia agak ragu-ragu untuk melabur dalam ICT, tetapi sejak kebelakangan ini, timbul kesedaran mengenai pentingnya berbuat demikian. “Setakat ini, hanya kira-kira 100,000 syarikat menggunakan ICT daripada hampir sejuta penggiat PKS. Maka, dapat dilihat potensi sangat besar untuk industri PKS menyumbang dalam ICT,” katanya sambil menambah walaupun keadaan ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah masih tidak menentu, ia tidak akan menjejaskan pelaburan domestik dan asing dalam sektor ICT tempatan.

No comments: