Friday, April 20, 2012

Peluang terbuka

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012042004595120120420045951/Article/index_html

Published: on 20 April 2012
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

SEBANYAK 42 peluang inovasi perniagaan (IBO) ditawarkan secara tender terbuka kepada komuniti perniagaan serta pelabur tempatan termasuk usahawan baru yang ingin memulakan perniagaan inovatif dengan menawarkan produk dan perkhidmatan unik.
Peluang perniagaan IBO itu adalah inovasi sedia ada untuk dikomersialkan, hasil kaji selidik dari universiti dan pusat penyelidikan tempatan yang bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, semua 42 peluang berkenaan dijangka mempunyai potensi untuk menjana hasil kira-kira RM1 bilion dalam tempoh masa tertentu.
“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan proses inovasi di dalam negara kita, kerajaan bersetuju untuk mengiklankan 42 peluang inovasi perniagaan.

“Peluang inovasi perniagaan ini akan diiklankan dalam semua akhbar utama dalam pelbagai bahasa mulai esok (hari ini) dan di samping itu, 42 peluang inovasi perniagaan ini juga boleh dimuat turun melalui laman web korporat AIM, www.innovation.my,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-4 Majlis Tadbir Urus AIM di Putrajaya, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Mark Rozario.


AIM adalah badan berkanun ditubuhkan Parlimen pada 2010 untuk memacu aktiviti dan inisiatif inovasi di dalam negara, manakala Majlis Tadbir Urus ialah badan pengurusan yang bertanggungjawab memberi nasihat serta panduan kepada agensi berkenaan.

Antara peluang IBO ditawarkan itu ialah pengesan bio yang berupaya mengenal pasti jangkitan kuman, racun makhluk perosak berasaskan bio dan sebuah periuk nasi dapat membuang kandungan kanji daripada beras biasa.

Najib berkata, semua peluang itu di peringkat permulaan dan selepas ini Khazanah Hak Intelek Malaysia akan memperluaskannya lagi, malah akan menjadi pusat sehenti untuk pihak syarikat.

No comments: