Monday, April 16, 2012

TM unjur untung RM2j melalui VPN

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) menyasarkan keuntungan pendapatan sebanyak RM2 juta menerusi pengenalan produk terbarunya SmartBiz yang menggabungkan penyelesaian perkhidmatan aplikasi VPN (Virtual Private Network) dengan perkhidmatan Internet terurus tahun ini.

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TMunjuruntungRM2jmelaluiVPN/Article/index_html
Published: on 16 April 2012

Naib Presiden Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) TM, Azizi A Hadi berkata, produk terbaru itu adalah rangkaian dan jalinan kerjasama antara TM dengan rakan kongsi, Cisco untuk menyediakan modem router yang diaplikasikan bersama pakej ditawarkan.

Selain Cisco, pihaknya turut bekerjasama dengan pengeluar komputer lain termasuk Dell, Acer dan Hewlett-Packard (HP) yang turut menyediakan komputer desktop sebagai sebahagian daripada perkhidmatan nilai tambah melalui anak syarikat TM sendiri, VADS Berhad.

Beliau berkata, produk terbaru itu direka khas untuk syarikat PKS yang mempunyai perancangan untuk membuka lebih daripada satu cawangan di seluruh negara kerana perniagaan itu membabitkan penggunaan aplikasi dan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi).

“Sistem pengurusan yang teratur kepada usahawan juga mampu memastikan peniagaan mereka beroperasi dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program SME BizFest 2012 di Georgetown, Pulau Pinang.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengurus Besar Pulau Pinang TM, Azhar Omar; Pengurus Besar (Perusahaan Kecil) TM, Suzana Mohd Salleh dan Pengurus Besar Pemasaran dan Penyelesaian (Perusahaan Sederhana) TM, Mohamad Yusman Ammeran.

No comments: