Friday, April 20, 2012

42 IBO ditawar ikut tender terbuka

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/42IBOditawarikuttenderterbuka/Article

Published: on 20 April 2012
Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my

Pengkomersialan produk inovasi mampu jana pendapatan RM1 bilion: Najib

DATUK Seri Najib Razak semalam, mengumumkan 42 Peluang Perniagaan Inovatif (IBO) membabitkan produk berpotensi besar dikomersialkan, yang akan ditawarkan secara tender terbuka kepada komuniti perniagaan dan pelabur Malaysia.

Perdana Menteri berkata, 42 produk IBO itu mampu menjana pendapatan sehingga RM1 bilion dalam tempoh tertentu apabila dikomersialkan.
Melalui cara ini, syarikat kecil dan besar dapat pelbagaikan peluang untuk mendahului pesaing mereka. - Najib Razak, Perdana Menteri 

Katanya, senarai produk yang dihasilkan beberapa universiti tempatan dan pusat penyelidikan di negara ini akan diiklankan dalam media bermula hari ini bagi dibida oleh syarikat yang berminat.

“Ini peringkat permulaan. Selepas ini Khazanah Harta Intelek Malaysia (KHIM) akan memperluaskan lagi peluang inovasi dan menjadi pusat sehenti untuk syarikat mencari peluang (perniagaan) inovasi.

“Melalui cara ini, syarikat kecil dan besar akan mendapat peluang mempelbagaikan peluang untuk mendahului pesaing mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kali keempat Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia (AIM) di Putrajaya, semalam.

Najib berkata, beliau berharap syarikat tempatan akan meneliti senarai 42 produk inovasi yang ditawarkan itu yang juga boleh dimuat turun menerusi laman sesawang AIM di www.innovation.my dan membidanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan aspek inovasi sebagai elemen penting dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ia dilakukan menerusi proses mendekatkan sektor akademik serta penyelidikan dengan industri dalam usaha untuk merangsang ekonomi dan menjana kekayaan daripada hasil daripada inovasi.

Perdana Menteri berkata, bidaan bagi 42 IBO itu akan dibuka selama sebulan sebelum keputusan muktamad dibuat Majlis Tasbir Urus AIM kelak.

Katanya, syarikat yang berjaya dalam bidaan dan memerlukan sokongan kewangan atau insentif tertentu boleh dipertimbangkan mengikut merit.

Sementara itu, Ketua Eksekutif AIM, Mark Rozario, berkata 42 produk inovasi yang ditawarkan itu hasil gabungan penyelidikan antara sektor akademik dan industri dengan maklumat saintifik mengenainya dipermudahkan untuk kegunaan pihak perniagaan.

Beliau berkata, antara produk yang ditawarkan itu termasuk pengesan bio yang berupaya mengenalpasti jangkitan kuman, racun makhluk perosak berasaskan bio dan periuk nasi yang dapat membuang kandungan kanji daripada beras biasa.

No comments: