Friday, April 13, 2012

Tukar 500 kedai runcit

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Published: on 13 April 2012
Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

BERA 12 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi menaik taraf 500 kedai runcit lama supaya menjadi lebih ceria dan menarik menerusi program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) sepanjang tahun ini. 

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga Mac lalu kira-kira 200 buah kedai runcit sudah bertukar wajah di bawah program tersebut.

Katanya, daripada peruntukan itu, sebanyak RM40 juta digunakan untuk mengubahsuai kedai dan membekal peralatan perabot seperti almari dan rak, manakala baki sebanyak RM10 juta dijadikan modal pusingan.
"Program itu dilaksanakan untuk membantu peniaga kedai runcit supaya lebih maju dan mampu bersaing dengan peniaga lain.

"Tahun lalu sahaja kementerian membelanjakan sebanyak RM40 juta bagi melaksanakan program berkenaan membabitkan 519 buah kedai runcit dan hasilnya berjaya meningkatkan jualan sehingga melebihi 200 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi kawasan Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda Bera, di sini hari ini.

Menurutnya, menerusi sistem mata jualan yang diperkenalkan di bawah program itu, perniagaan kedai runcit menjadi lebih terurus dari segi perakaunan dan penyediaan barang-barang keperluan.
Katanya, peniaga juga akan diselia oleh sebuah jawatankuasa khas pemantauan untuk memastikan perniagaan mereka berjalan lancar.

"Mereka juga akan dinilai setiap enam bulan sekali dan perlu mengikuti kursus perniagaan yang dikendalikan perunding iaitu pasar raya besar seperti Tesco, Mydin, Giant dan syarikat antarabangsa lain," katanya.

No comments: