Friday, April 6, 2012

Geran RM5j bantu pengeluar LED, SSL

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/GeranRM5jbantupengeluarLED_SSL/Article

Published: on 06 April 2012
Oleh Zuraidah Mohamed dan Azida Shaharuddin
bhbiz@bharian.com.my

SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyediakan dana awal berjumlah RM5 juta untuk disalurkan sebagai geran bagi membantu meningkatkan keupayaan pengeluar lampu diod pemancar cahaya (LED) dan produk pencahayaan dalam bentuk pejal (SSL) tempatan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim, berkata menerusi geran di bawah Program LED Mesra Alam itu, pihaknya menyasarkan membangunkan sehingga lima syarikat peneraju global dalam industri itu menjelang 2014.

Beliau berkata, jika program itu mendapat sambutan, SME Corp akan meminta peruntukan tambahan daripada kerajaan.

Jelasnya, program itu adalah antara 15 projek permulaan (EPP) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) dalam memperkasakan lagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) negara.

“SME Corp telah diberikan peranan utama oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) bagi memenuhi objektif EPP untuk membangunkan syarikat pengeluar SSL/LED tempatan ke peringkat global. Ketika ini, hanya ada kira-kira 30 syarikat saja yang terbabit dalam industri ini.

“Menerusi insentif ini, kerajaan juga memberi tumpuan serius kepada standard dan pensijilan kerana seperti yang kita ketahui industri LED mempunyai banyak standard dan pensijilan yang berkaitan dengannya di seluruh dunia,” katanya pada sidang media selepas taklimat media mengenai Program LED Mesra Alam di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SME Corp, Datuk Ir Dr Mohamed Al Amin Abd Majid dan Pengarah NKEA (Elektrik dan Elektronik) PEMANDU, Christopher Tan.
Hafsah berkata, geran berkenaan disediakan untuk dua tujuan, iaitu bagi membiayai sebahagian pinjaman untuk pembelian mesin automasi berteknologi tinggi, serta untuk membiayai kos mendapatkan pensijilan antarabangsa yang relevan.

Katanya, bagi pembelian mesin automasi, syarikat yang layak boleh mendapatkan geran bagi membiayai sehingga 30 peratus daripada jumlah pinjaman yang dibuat untuk pembelian berkenaan, tetapi tertakluk kepada jumlah maksimum RM800,000.

No comments: