Tuesday, April 10, 2012

Putra Brand hargai PKS

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Published: on 10 April 2012

ETALING JAYA 9 April - Anugerah Putra Brand 2012 yang dianjurkan oleh Persatuan Penjenamaan Malaysia, Persatuan Pengiklan Malaysia dan Persatuan Pakar-Pakar Media Malaysia bakal menjadi medan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersaing dalam membina jenama terhadap produk dan perkhidmatan masing-masing.

Majlis anugerah yang telah diadakan selama tiga kali itu memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat yang memiliki jenama terbaik dan dikenali serta sanggup membuat pelaburan untuk membangunkan jenama masing-masing.

Menurut Pengerusi Penganjur Anugerah Putra Brand 2012, Datuk Johnny Mun, (gambar) kebanyakan PKS masih ketinggalan dalam pembangunan jenama dan mereka perlu dibantu.
"Banyak PKS mempunyai produk yang bagus tetapi gagal memikat hati pelanggan kerana tidak mempunyai jenama dan strategi pemasaran yang berkesan.

"Mereka perlu mendapatkan bantuan profesional untuk membangunkan jenama masing-masing kerana apa yang membuatkan mereka ketinggalan berbanding pesaing-pesaing yang lain adalah penjenamaan," katanya dalam temu bual bersama Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Anugerah Putra Brand 2012 akan diadakan pada 24 April ini di One World Hotel yang mana 100 meja disediakan dengan harga RM5,500 bagi setiap satu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan anugerah.

Majlis yang mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu akan menampilkan 20 kategori antaranya pakaian dan aksesori, automotif, makanan dan minuman, pendidikan, kewangan, produk isi rumah, media, pemaju hartanah serta pelancongan.

Anugerah diberikan berdasarkan keputusan penyelidikan yang dibangunkan oleh Pulse Group.
Seramai 6,000 responden daripada pelbagai demografi akan terlibat di dalam kaji selidik ini dan menentukan jenama apakah yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
Setiap kategori mempunyai tiga anugerah iaitu Emas, Perak dan Gangsa.

Jenama-jenama paling hebat bakal mendapat pengiktirafan menerusi tiga anugerah "terbaik di kalangan terbaik" iaitu Anugerah PKS Terbaik Putra Brand, Anugerah Harapan Putra Brand dan Anugerah Putra Brand.

Setiap pemenang akan diberikan trofi penghargaan dan mereka juga dibenarkan untuk menggunakan logo Anugerah Putra Brand untuk tujuan promosi.

No comments: