Monday, April 16, 2012

SmartBiz untuk PKS banyak cawangan

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm

Published: on 16 April 2012



Dua gadis promosi TM, Rachel Lai (tengah) dan 
Rachel Lim menunjukkan brosur pakej terbaharu 
SmartBiz selepas pelancaran pakej itu di 
Pulau Pinang, semalam. 


PULAU PINANG 13 April - Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini memperkenalkan produk terbarunya, SmartBiz, yang menggabungkan penyelesaian perkhidmatan aplikasi VPN (Virtual Private Network) dengan perkhidmatan Internet terurus.

Naib Presiden Eksekutif Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) TM, Azizi A. Hadi berkata, produk terbaru itu merupakan kerjasama antara TM dengan rakan kongsi iaitu Cisco, pembekal moden router yang ditawarkan bersama pakej berkenaan.

Kata beliau, pihaknya juga bekerjasama dengan Dell, Acer dan Hewlett-Packard (HP) untuk menyediakan komputer meja (desktop) sebagai sebahagian daripada perkhidmatan nilai tambah melalui anak syarikat TM, VAD Berhad.

"Produk ini direka khas untuk syarikat PKS yang mempunyai lebih daripada satu atau banyak cawangan di seluruh negara kerana perniagaan sedemikian melibatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang kompleks dan memerlukan mobiliti.

"SmartBiz akan memberikan penyelesaian VPN dan ICT yang mudah dan ringkas serta sistem pengurusan teratur kepada usahawan bagi memastikan peniagaan mereka dijalankan dengan baik," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program SME BizFest 2012 di Hotel Equatorial di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar TM Pulau Pinang, Azhar Omar; Pengurus Besar (Perusahaan Kecil) TM, Suzana Mohd. Salleh dan Pengurus Besar Pemasaran Dan Penyelesaian (Perusahaan Sederhana) TM, Mohamad Yusman Ammeran.

SME BizFest julung kali diadakan oleh TM pada tahun ini dan ia berlangsung selama dua hari mulai hari ini untuk memperkenalkan pelbagai produk TM yang boleh membantu usahawan PKS memperkembangkan perniagaan mereka.

Dalam pada itu, Azizi berkata, produk SmartBiz itu merupakan pakej di bawah kemampuan usahawan kerana ia hanya mengenakan bayaran sebanyak RM600 sebulan, berbanding sistem lain yang sama di pasaran berharga beribu-ribu ringgit.

"Produk SmartBiz RM600 setiap bulan termasuk perkhidmatan pemantauan dan penyelenggaraan sistem daripada TM, dan bekalan komputer juga boleh diperoleh dengan bayaran RM100 bagi satu unit setiap bulan," katanya.

No comments: