Wednesday, April 18, 2012

Pengusaha PKS tak manfaat e-dagang

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PengusahaPKStakmanfaate-dagang/Article

Published: on 18 April 2012

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) masih kurang menggunakan kaedah perniagaan dalam talian dan e-dagang meskipun ia sangat berpengaruh dalam kehidupan harian pengguna, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Eksportnya, Datuk Zulkifli Mahmud, berkata menurut Google Malaysia, hanya 20 peratus daripada 700,000 PKS di negara ini mempunyai laman web manakala 80 peratus lagi tidak memilikinya.

“Ini bermakna mereka hanya diketahui oleh dua pertiga daripada penduduk Malaysia selain pasaran dalam talian global,” katanya pada seminar mengenai Get Malaysian Business Online di Kuala Lumpur.

Pengguna mengharapkan syarikat mempunyai laman web mereka sendiri. Apapun bentuk dan saiz perniagaan mereka, laman web memberi manfaat. Reka bentuk laman web yang berkualiti dan profesional juga melambangkan sejauh mana kejayaan perniagaan dan sejauh mana ia dijangka kekal dalam perniagaan. - Zulkifli Mahmud, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Eksport MATRADE

Katanya, kajian yang dijalankan oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) mendapati PKS tempatan masih bergantung kepada pendekatan perniagaan secara konvensional dengan hanya 28 peratus daripada 965 responden terbabit dalam perniagaan secara dalam talian.

Beliau menyifatkan penggunaan rendah perniagaan dalam talian dan e-dagang oleh PKS disebabkan kurang kesedaran terhadap manfaat, terus memilih kaedah tradisional selain tanggapan bahawa perkakasan dan teknologi e-dagang memerlukan kos yang tinggi.

Beliau berkata, berdasarkan pengguna Internet yang berdaftar dalam negara seramai 17.5 juta tahun lalu, PKS tidak sepatutnya terlepas pandang terhadap potensi besar segmen pasaran ini memandangkan terdapat peluang besar untuk industri e-dagang di Malaysia.

“Pengguna kini mengharapkan syarikat mempunyai laman web mereka sendiri. Apapun bentuk dan saiz perniagaan mereka, laman web mungkin memberi manfaat.

“Reka bentuk laman web yang berkualiti dan profesional juga melambangkan sejauh mana kejayaan perniagaan anda dan sejauh mana anda dijangka kekal dalam perniagaan,” katanya.

Seminar itu adalah inisiatif Google Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), My Domain Registry dan iTrain bagi membantu sekurang-kurangnya 50,000 perniagaan Malaysia membuka laman web dan aktif dalam talian bagi meluaskan pasaran dan meningkatkan jualan. – BERNAMA

No comments: