KANGAR, 24 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan
dapat menghasilkan 6,000 usahawan baharu tahun ini dan menyediakan dana
berjumlah RM512 juta bagi membiayai modal asas perniagaan mereka.
Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/mara-hasrat-hasilkan-6-000-usahawan-tahun-ini-1.153812
Published: April 25, 2013
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=944888
Published: April 25, 2013
Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Mohd Rosdi Ismail
berkata sejak Januari sehingga Mac lalu, sebanyak 37 usahawan baharu
telah dihasilkan di seluruh negara melalui pembiayaan modal asas
sebanyak RM3.8 juta.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan dan
Pendidikan MARA Perlis 2013 di sini Rabu, beliau berkata MARA bercadang
meningkatkan kadar maksimum pembiayaan kepada RM1 juta seorang
berbanding RM500,000 pada masa ini.
Beliau berkata MARA meletakkan sasaran 500 usahawan bumiputera yang
menerima pembiayaan MARA mencapai status jutawan dihasilkan di seluruh
negara menjelang 2015.
Sejak 2011 sehingga akhir tahun lalu, MARA telah menghasilkan 196 jutawan yang terbabit dalam pelbagai bidang keusahawan.
"Matlamat melahirkan kumpulan usahawan yang mantap juga telah
menampakkan prestasi memberangsangkan apabila dalam tempoh dua tahun
sejak 2011 menghasilkan 13,500 usahawan mantap daripada matlamat
sebanyak 16,500 orang menjelang tahun 2015," kata beliau.
Mohd Rosdi berkata bagi memudahkan bakal usahawan menjalankan
perniagaan, MARA turut menyediakan 7,373 lot perniagaan berupa gerai
dan kedai dalam 483 projek bernilai RM2.6 bilion di seluruh negara.
Daripada jumlah itu sebanyak 20 projek bernilai RM50 juta telah
dilaksanakan di Perlis untuk kemudahan 332 usahawan Bumiputera di
Perlis.
Sementara itu Pengarah MARA Perlis, Abdul Halim Mamat berkata, karnival
Usahawan dan Pendidikan Mara itu akan berlangsung selama tiga hari
bermula hari ini membabitkan penyertaan 24 usahawan dan 15 institusi
pengajian tinggi serta institusi pengajian MARA (IPMA).
Antara acara yang berlangsung sepanjang karnial itu termasuk seminar
membabitkan 300 peserta terdiri bakal-bakal usahawan, pelajar-pelajar
institusi pengajian tinggi, para premis MARA dan para peminjam.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment