Pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalak untuk mengaplikasikan model hibrid, iaitu gabungan perniagaan fizikal (offline) dan dalam talian (online) supaya lebih berdaya saing di peringkat global. Felo Kanan Institut Global McKinsey, Anu Madgavkar berkata, model ini dilihat lebih bersesuaian dalam tempoh beberapa tahun akan datang selari dengan perkembangan internet masa kini.
Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/sektor-pks-perlu-guna-model-hibrid-1.151683
Published: April 21, 2013
Madgavkar (tengah) bersama penceramah dan wakil usahawan
Asia selepas sidang media antarabangsa Helping Small Business
Think Big anjuran Google di Singapura, kelmarin.
“Gabungan offline dan online adalah lebih sesuai untuk diaplikasikan kerana penggunaan internet akan menjadi sangat penting dan pantas pada masa hadapan.
“Sebagai contoh di India, Jobseekers, syarikat mencari pekerjaan terbesar bukan sahaja menyediakan perkhidmatan secara online tetapi juga offline di mana pemohon boleh ke pejabat mereka untuk mengetahui cara menulis resume dengan betul sebelum memuat naik di internet," katanya selepas sidang media antarabangsa Helping Small Business Think Big di ibu pejabat Google Singapura, kelmarin.
Menurutnya, pengguna lebih selesa menggunakan cara begini kerana mereka mempunyai pilihan sama ada menggunakan cara offline mahu pun online.
Di Asia, PKS yang menggunakan internet dapat membantu mengurangkan kos dan meningkatkan perolehan serta produktiviti sebanyak 13 peratus secara purata.
Berdasarkan laporan kaji selidik McKinsey di empat negara Asia tahun lalu, Malaysia menduduki tempat kedua dengan peningkatan produktiviti 12.6 peratus, di bawah Vietnam iaitu 19.3 peratus.
Tempat ketiga dan keempat adalah India dan Taiwan dengan peningkatan masing-masing sebanyak 12.5 peratus dan 6.6 peratus.
Sementara itu, sidang media yang dihadiri lebih 100 media dari negara Asia itu bertujuan memberi penerangan mengenai revolusi industri dan bagaimana perniagaan kecil boleh menjadi besar dengan internet.
Beberapa usahawan Asia turut hadir berkongsi kejayaan perniagaan mereka yang menggunakan internet.
No comments:
Post a Comment