Thursday, April 18, 2013

Bank PKS Rusia Berminat Mempelajari Modul Perniagaan SME Bank Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- SME Bank of Russia berminat untuk mempelajari modul perniagaan yang digunakan oleh SME Bank Malaysia. Timbalan Pengerusi Lembaga SME Bank of Russia, Kirill Semenov, berkata di Rusia, SME Bank tidak mempunyai hubungan terus dengan pelanggannya dan urus niaga dijalankan melalui rangkaian lain seperti bank-bank komersil.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=942953
Published: April 18, 2013

Semenov, bersama dengan lima anggota perwakilan lain dari SME Bank of Russia, berada di Malaysia bagi lawatan selama tiga hari, berikutan satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua SME Bank itu pada September tahun lepas.

MoU itu bertujuan menetapkan satu platform bagi kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara masing-masing.

Pada taklimat media di sini Rabu, Semenov berkata SME Bank of Russia berharap lawatan singkat itu akan melengkapi usaha kerjasama kedua-dua pihak dan membuka ruang bagi pertukaran pendapat yang lebih banyak dan lebih kerap.

"Setakat ini, belum ada peruntukan kerana belum ada projek dalam perancangan.

"Bagaimanapun, kami berharap dengan sokongan daripada SME Bank Malaysia, kerjasama kita akan bermula tahun ini," tegas beliau.

Selain SME Bank Malaysia, SME Bank of Russia juga telah menjalin kerjasama dengan Exim Bank of India, International Finance Corporation di Amerika Syarikat dan Bank Pembangunan China.

-- BERNAMA 

No comments: