Tuesday, April 16, 2013

Semakin Ramai Dapat Manfaat Program 1AZAM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Semakin ramai individu mendapat manfaat daripada program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM yang diperkenalkan kerajaan pada 2010 untuk meningkatkan taraf hidup warga kota, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=942216
Published: April 16, 2013

Melalui bantuan Azam Niaga, peserta dilatih dan dibimbing menerusi pendekatan sosioekonomi dan inovatif bagi memilih bidang yang mereka minat dan mahir berdasarkan potensi individu.

Untuk itu, bagi menggalakkan masyarakat bergiat aktif dalam program ini, 45 lagi peserta program itu di Bandar Tun Razak di sini, menerima barangan permulaan perniagaan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) 2013.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam satu kenyataan hari ini berkata ia bagi membantu individu terlibat menjalankan perniagaan dengan bantuan barangan disediakan oleh kerajaan.

"Ia antara usaha kerajaan untuk membolehkan golongan tersebut berdikari berteraskan konsep kebajikan produktif", katanya.

Pada majlis itu, 23 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menerima kad Orang Kelainan Upaya (OKU) serta surat kelulusan bantuan KAR1SMA.

Tahun lepas, 13,693 orang menerima bantuan KAR1SMA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dengan 2,044 daripadanya dari kawasan Bandar Tun Razak, menerima bantuan orang tua, kanak-kanak dan elaun pekerja OKU.

Bagi program 1Azam yang bermula dari 1 Jan 2011 hingga 2 Jan 2013, seramai 106,967 peserta menyertai program Teman 1Azam di seluruh negara, dengan 2,414 daripada jumlah itu meliputi peserta Kuala Lumpur yang menerima peruntukan RM13 juta.

Antara projek yang mendapat sambutan dalam kalangan peserta ialah jahitan, pengusaha kedai makanan serta jualan kuih-muih.

-- BERNAMA

No comments: