Wednesday, April 3, 2013

M2 Labur RM7.5 Juta Untuk Buka 15 Cawangan Seluruh Negara

KUALA TERENGGANU, 2 April (Bernama) -- Milan Lifestyle Sdn Bhd (M2) akan melabur kira-kira RM7.5 juta untuk membuka 15 kedai menjual pakaian berjenama di seluruh negara tahun ini.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=938863
Published: April 03, 2013

Penasihat Jabatan Jualan dan Operasi M2 Khor Kwang Hooi berkata purata nilai pelaburan untuk setiap kedai itu dianggarkan lebih kurang RM500,000.

"Kita akan buka di setiap ibu kota negeri-negeri seperti Kota Bharu, Melaka, Johor Baharu, Seremban, Putrajaya dan lain-lain," katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian kedai M2 bersama pemain bola sepak Terengganu di sini Selasa.

Khor berkata, untuk jangka masa panjang, pihaknya merancang membuka 50 kedai menjual pakaian berjenama di seluruh negara dalam masa tiga tahun akan datang.

M2 adalah satu konsep runcitan baharu yang diketengahkan sepenuhnya oleh syarikat Bumiputera, iaitu Milan Lifestyle Sdn Bhd yang menawarkan produk pelbagai jenama premium terkenal dari Eropah, seperti Fiorgio Armani, Emporio Armani, Armani Exchange, Hugo Boss, Roberto Cavalli, Salvatore Ferragamo, Polo Ralph Lauren dan Tommy Hilfiger.

M2 Kuala Terengganu merupakan cawangan pertama yang dibuka tahun ini dan akan diikuti bandar-bandar utama yang lain selepas ini, dengan menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus bagi semua barangan dengan harga serendah dari RM30 bagi t-shirt, RM59 bagi jaket dan RM129 bagi jean terkenal.

-- BERNAMA 

No comments: